JAM menghampiri ke angka empat. Suasana perpustakaan sekolah yang dicat biru lembut itu tenang, hanya beberapa orang pelajar sahaja kelihatan sedang mengulangkaji pelajaran. Dia memandang kiri dan kanan, lesu melihat persekitaran perpustakaan yang senyap sunyi. Kemudian dia menggaru-garu kepalanya yang dilitupi tudung putih, lantas menguap.
“Bosannya!” rungutnya kuat. Langsung tak fikirkan orang lain yang turut berada di dalam perpustakaan. Beberapa mata memandang ke arahnya tidak dihiraukan.
"Shhhh. Silent please,” tegur seorang pengawas perpustakaan.
"Jue, kawal diri tu sikit," ujar Ashraf yang dari tadi duduk di hadapannya. Tapi Julia buat endah tak endah dengan teguran pelajar lelaki itu. Dia terus bersandar malas di kerusi plastik warna biru. Dia mengelus dahinya perlahan, mula terasa denyutan di kepala.
Bosan betullah bila kena study. Kenapa entah. Belajar, kena ada exam. Cubalah kalau tak payah exam. Kan senang?
"Nak keluar ke?" soal Ashraf lagi bila melihat Julia dah macam lempeng basi.
Julia diam sekejap sebelum berkata, "Kau habiskanlah study dulu. Aku nak berfantasi pasal Thom Yorke sekejap." Julia memejamkan mata sambil terus menghayati lagu-lagu dari band kesukaannya, Radiohead.
Ashraf menggelengkan kepalanya. Julia ini keras hatinya. Sudah berapa kali dipesan, jangan bawa MP3 ke sekolah. Tapi dia bawa juga. Rilek pula tu dengar dalam library. Karang kalau kena rampas, mulalah nak cipta bermacam alasan nak bagi dekat Cikgu Ramli masa nak minta semula MP3 tu.
Ashraf mengeluh apabila melihat Julia yang bersandar pada kerusi macam ayam patah leher. Sekali lagi dia menggeleng kepala sebelum meneruskan pembacaan Sejarah Malaysia. Matanya dah tak boleh nak ditolong lagi dah dia punya mengantuk. Tapi bila memikirkan esok ada kuiz dan cubitan maut Cikgu Fazilah, dia gigih juga menghabiskan beberapa helai lagi yang perlu dihadamnya.
Gedegang..!!
Ashraf terkejut. Terus dia terbangun. Beberapa pelajar lain pun bagi respon yang sama. Berkerut kening Ashraf melihat Julia yang sudah pun terbaring di lantai.
"Adoii..." Julia perlahan-lahan bangun sambil mengusap kepala yang terhantuk pada meja di belakang kerusi yang dia duduk. Dia terlelap, terus terjatuh dari kerusi dan memang tak dapat dielakkan, belakang kepalanya mencium meja. Beberapa pelajar yang ternampak ketawa. Melihatkan Julia yang menjeling ke arah mereka, tawa mati.
"Kau okay?" soal Ashraf.
Julia mengangguk-angguk. Dia tangkas mengemaskan buku-bukunya yang berselerak di atas meja, kemudian mengangkat muka melihat Ashraf di hadapan.
"Jom, Acap. Aku nak makan cendol pulutlah."
Ashraf mengerutkan kening. Gila apa budak ni nak makan cendol pulut? Bukan dia anti cendol pulut ke?
"Kau mimpi apa ni Jue? Bukan selama ni kau tu kalau nak tengok cendol pulut pun tak boleh?" Ashraf bertanya lagi, tapi tangannya terus mengemaskan buku.
Julia terdiam. "Tapi Thom yorke suka cendol pulut."
Ashraf menggelengkan kepala mendengar jawapan Julia. "Aku rasa urat dekat kepala kau rosak masa kau terhantuklah. Nak pergi jumpa pakar otak?"
"Kau nak aku belanja tak?" Julia bertanya pula. Ashraf tersenyum lebar. Dan dia membuat isyarat mulut dizip, berjanji tak akan cakap apa-apa untuk mengelakkan tawaran cendol pulut free ditarik semula.
***
JULIA menekan-nekan perut. Tak cukup dengan tu, dahi pun berkerut. Pagi tadi ketika bangun dari tidur, dia baru perasan yang dia datang haid. Kalau ikutkan hati, dia memang tak mahu datang ke sekolah sebab dia tahu, hari pertama memang sengsara. Dan sekarang dia memang tengah mencuba menahan perit dekat perut.
"Pssss..!"
Julia memandang sebelah. Ashraf menghulurkan sesuatu. Dia mengambil barang tersebut. Sebotol minyak cap kapak yang dibaluti sekeping kertas.
Sapu kat perut. Kasi kurang sikit rasa sakit. Kalau tak tahan, bagitau je pada cikgu Azlina. ^__^
Julia tergelak kecil melihat nota yang diselitkan sekali bersama minyak cap kapak yang dihulurkan Ashraf. Bukan kelakar apa, tapi Julia geli melihat icon yang dilukis Ashraf. Dah macam gadis-gadis. Kemudian Julia memandang Ashraf. Ashraf menoleh. Julia tersengih. Rasa malu juga bila lelaki tau 'girl thing' ni.
Ashraf mengangkat kening, mengharapkan Julia akan memberitahu Cikgu Azlina yang sedang mengajar di depan yang dia sakit perut. Julia menggelengkan kepala, tanda dia mahu terus berada dalam kelas. Ashraf mengecilkan mata. Julia menjelir lidah. Ashraf mengangguk-angguk penuh dendam.
"Cikgu.." Ashraf mengangkat tangan, sedikit mengganggu cikgu Azlina yang sedang mengajar Kimia di hadapan.
"Ya Ashraf?"
"Julia.. Dia sakit perut cikgu."
Bulat mata Julia mendengar suara Ashraf. Hampir semua mata memandang dia kini. Cikgu Azlina berpaling melihat Julia yang masih menekan perutnya.
"Kamu sakit perut, Julia?" soal cikgu Azlina pula.
Perlahan, Julia mengangguk.
“Kamu salah makan ke?” Cikgu Azlina memberhentikan sebentar sesi pengajaran. Dia menghampiri Julia. Julia menggeleng perlahan menjawab soalan Cikgu Azlina.
“Period pain, cikgu,” ujarnya perlahan. Segan juga kalau satu kelas tahu dia tengah sakit perut begini.
"Erm kebetulan minggu ni saya cikgu bertugas. Macam inilah. Kamu rehat dulu dekat surau. Nanti sekejap lagi saya datang bawakan ubat," kata Cikgu Azlina.
Julia mengangguk perlahan. “Terima kasih, cikgu.” Dia bangun dari kerusi sambil membawa botol minyak cap kapak. Sempat ditinggalkan sekeping kertas di atas meja Ashraf.
Memandai je! But thanx. ^ ^
Ashraf tersenyum melihat kertas di tangannya. Ketika dia mengangkat wajah untuk melihat Julia, dia cuma melihat susuk gadis itu yang sudah agak jauh dari kelas.
Julia meneruskan langkahnya ke surau. Sampai di bangunan dua tingkat bercat biru itu, Julia buka kasut dan terus berlari-lari naik ke surau perempuan dekat tingkat dua. Pintu ditolak. Dia ternampak tiga orang pelajar perempuan turut ada di situ. Tapi malas nak ambil peduli. Julia mengambil beberapa helai sejadah dan terus baring bawah kipas.
Peh! Memang legalah.
"Jue," panggil satu suara. Julia mengeluh. Pantang tengok orang senang lah! Julia menoleh melihat ke arah tiga orang pelajar perempuan tadi.
"Apahal kau menyibuk dekat sini juga?"
Julia mengerutkan kening mendengar soalan salah seorang dari mereka.
"Kalau tak sebab cikgu Azlina suruh aku datang sini, aku pun tak mahulah jumpa korang." Julia bersuara. Kemudian dia terus mengiringkan badan, membelakangkan pelajar tadi. Malas betul nak layan budak bertiga ni. Siapa tak kenal power puff girl sekolah. Azie, Mimi dan Nadia. Konon paling cantik, hot dan segala yang hebat ada pada dioranglah.
"Kalau cakap tu, pandanglah kitorang!" Terdengar Mimi bersuara kuat.
Julia tak ambil peduli. Sambil baring mengadap dinding, Julia menjawab, "Nanti mata aku sakit."
"Eh kurang ajar betul eh kau?"
Julia menahan nafas. Kemudian dia bangun dan terus duduk bersila. Haihh. Ingatkan duduk surau ni aman. Rupanya ada jugak yang nak mengacau.
"Boleh tak kalau korang bertiga ignore aku? Buat-buat tak nampak aku?"
Azie mengangkat keningnya. Amboi. Dah sama macam Ziana Zain dah. "Kau buat apa dekat sini? Kau saja nak bagi kitorang kantoi ponteng kelas ya?" Azie bersuara pula.
Julia tergelak. "Lah! Korang ponteng ke? Aku ingat korang ada misi penting. Biasalah. Power puff girl kan selalu kena tolong orang," Julia menjawab.
"Kurang ajar betul budak ni!" Azie bangun dan meluru laju pada Julia. Namun langkah kaki Azie terhenti apabila pintu surau ditolak dari luar diikuti satu suara.
"Julia, kamu dah..." Kata-kata Cikgu Azlina terhenti apabila dia melihat ada tiga pelajar lain yang turut serta di dalam surau itu.
"Apa kamu bertiga buat dekat surau ni Azie? Mimi? Nadia?" Cikgu Azlina menyoal.
“Err saya sakit perut cikgu,” Azie laju menjawab walaupun gagap dipermulaan ayat.
“Saya pun sakit perut, cikgu.” Mimi pula mencelah. Nadia hanya mengangguk mengiyakan kata-kata rakannya.
Cikgu Azlina mengerutkan keningnya. “Takkanlah tiga-tiga sakit perut serentak? Kamu kalau nak bagi alasan pun, tak boleh fikir yang masuk akal sikit?” Suara Cikgu Azlina sedikit tinggi menyebabkan ketiga-tiga mereka terdiam.
"Julia, kamu makan ubat ni. Lepas tu rehat." Cikgu Azlina mengulurkan ubat dan air suam pada Julia. "Dan kamu bertiga, ikut saya ke bilik guru!" Arah cikgu Azlina tegas. Azie dan rakannya cuma tunduk dan berjalan keluar dari surau.
Namun sempat Azie berpaling melihat Julia, "Ingat Jue! Nanti aku akan balas!" Bisiknya perlahan, penuh dendam.
Julia yang baru lepas menelan pil yang diberi Cikgu Azlina mengangkat muka dan tersenyum. “Okay!”
2 titik hujan:
takuuuutttttnye...
memang bubble..blossom la dorang ni..
nasib x sailormoon
hahahaha.. perangai macam budak2 sekolah.. nak balas2 plak.. eh.. memang budak sekolah pun.. hahaha
Post a Comment