Woot woot!


Just in case nak mengorat, email je. : AmalinaHamsan@gmail.com *wink*

Sunday, February 6, 2011

Julia : EmpatBelas.

JULIA tunduk merenung jari-jarinya yang bertaut sesama sendiri. Bilik kaunseling yang berpendingin hawa dirasakan membahang.

“Awak ada apa-apa nak cakap, Julia?” Soal Cikgu Maznah, guru kaunseling merangkap guru kelas Julia. Julia menggeleng perlahan.

Cikgu Maznah menarik nafas panjang.“Awak pelajar harapan sekolah, Jue. Kenapa sampai macam ni sekali keputusan Trial SPM awak ni?”

Cikgu Maznah tunduk merenung sekeping kertas tertera senarai mata pelajaran dan markah Julia punya. Tiga mata pelajaran ditulis menggunakan pen berwarna merah : Fizik, Add Math, Kimia.

“Saya tak suka jadi harapan sekolah cikgu.” Perlahan Julia berkata.

Berkerut kening Cikgu Maznah. “Maksud awak?”

Julia tarik nafas dalam-dalam, kemudian menyambung kata. “Saya tak suka hidup dengan expectation. Sebab kalau saya gagal capai semua tu, saya akan kecewa. Makin tinggi saya berharap, makin sakit kalau saya jatuh.” Julia terus tunduk.

“Jadi awak tak kisah dengan level kehidupan awak? Andai kata awak dapat 15 markah untuk Fizik pun, awak terima. Begitu?”

Julia menggeleng laju, menidakkan kata-kata Cikgu Maznah. “Bukan macam tu cikgu.” Julia mengeluh. Menggaru kepala yang tidak gatal.

Cikgu Maznah terus memandangnya. “Jadi, bagaimana?”

Julia melepaskan nafas perlahan. Dia sendiri tak tahu nak cakap macam mana. Jujurnya, dia sendiri masih terkejut dengan keputusan percubaannya yang sangat teruk. Padahal dah plan dah nak apply masuk UTP, nak ambik Geology. Tapi dengan keputusan macam ni, haih.

“Julia,” lembut Cikgu Maznah menyebut, “Betul awak cakap. Kalau kita berharap terlalu tinggi, terlalu banyak, berusaha terlalu kuat, tetapi bila tak dapat, itu yang paling sakit. Betul tu. Cikgu tak nafikan. Tapi awak kena faham, kalau awak hidup tanpa ada langsung expectation, you will be nothing. Awak akan jadi seseorang yang sentiasa redha dengan segala yang dia ada.”

Cikgu Maznah diam sebentar, merenung Julia yang tunduk dari tadi. “Awak pelajar pandai Julia. Sebelum ni, awak yang selalu conquer subjek Add Math dan Fizik. Tapi sekarang, awak dah sama level dengan student kelas lain.”

Julia ketap bibir dan Cikgu Maznah terus menyambung, “Walaupun sekolah kita tak bagi para pelajar bercinta, tapi kalau kamu nak bercinta, cikgu tak boleh halang sebab cikgu tak dapat kawal kamu 24 jam. Dan macam awak sendiri, cikgu tau awak sekarang bercinta dengan Amir, pelajar tingkatan enam tu.”

Julia angkat muka sikit pandang Cikgu Maznah, kemudian dia tunduk semula. “Cikgu faham, Jue. Cikgu pun pernah bercinta masa sekolah. Cikgu tak akan masuk campur hal peribadi kamu. Tapi sekarang, pelajaran kamu merosot, cikgu terpaksa ambik part.”

Julia menelan liur. “Result saya jatuh tak ada kena mengena dengan hal saya dengan Amir, cikgu.”

Cikgu Maznah tersenyum sedikit. “Itu yang awak silap. Bila kita bercinta ni, kita akan rasa semua perkara yang kita buat betul. Bila orang tegur, kita akan kata orang tu yang salah. Kita sikit pun tak akan perasan perubahan kita. Kalau awak tak percaya, awak tanya famili awak, kawan-kawan awak. Mesti diorang perasan perubahan awak.”

Julia terus diam.

“Julia, jangan sebab cinta yang belum tentu lagi sejati ni, yang belum tentu lagi dia akan jadi pasangan hidup awak, awak nak abaikan pelajaran, masa depan awak.”

“Tapi saya betul-betul sayangkan dia cikgu,” ujar Julia sambil memandang Cikgu Maznah.

Cikgu Maznah menggeleng sambil tersenyum. “Awak baru tingkatan lima Julia. Masih terlalu muda lagi. Lepas ni insyaAllah awak akan masuk mana-mana IPTA, kemudian bekerja. Banyak lagi masa, Jue. Ramai lagi orang yang awak belum jumpa. Dunia ni luas. Entah-entah masa belajar nanti awak akan jumpa life partner awak. Mungkin juga masa kerja nanti.”

Cikgu Maznah merenung Julia yang memandangnya. “Mungkin juga Amir tu betul jodoh awak. Tapi Julia, buat masa sekarang, tolong fokus pada pelajaran dulu. Gapai cita-cita awak dulu, cerahkan masa depan sebelum awak fikir pasal jodoh. Boleh?”

Julia terdiam lama. Tidak lama kemudiam, dia tersenyum apabila memikirkan kata-kata Cikgu Maznah. “Baik cikgu. Saya cuba. Terima kasih cikgu kerana nasihatkan saya.” Cikgu Maznah mengangguk.

“Dah jadi tanggungjawab cikgu.” Cikgu Maznah tersenyum manis.

“Kalau tak ada apa-apa, boleh saya keluar dulu, cikgu?” Cikgu Maznah angguk. Julia bangun dan berjalan menuju ke pintu.

“Julia.” Julia berpaling dan Cikgu Maznah menyambung. “Cikgu nak awak dapat lebih dari apa yang sekolah harapkan.”

“InsyaAllah cikgu. Terima kasih cikgu.”

Julia menunduk sedikit. Cikgu Maznah mengangguk dan tersenyum. Julia terus keluar dari bilik kaunseling, mengambil buku latihan Add Math yang ditinggalkan di atas meja di luar dan terus berjalan menuju ke perpustakaan yang sederet dengan bilik kaunseling.

Julia melangkah masuk ke dalam perpustakaan dan terus duduk di satu tempat berhampiran tingkap, agak tersorok. Dia sempat mencapai beberapa akhbar harian yang ada disudut am. Dia membuka lembaran demi lembaran. Tapi jujurnya fikiran Julia bukan di situ. Banyak yang dia fikir. Situasi dia dengan Ashraf yang sudah lama tidak bertegur sapa, sudah berbulan-bulan dan juga kondisi dia dengan Amir sekarang.

‘Speaking of the devil,’ bisik Julia perlahan.

Dia ternampak Amir berjalan laju masuk ke perpustakaan dan terus menuju ke kawasan rak untuk bacaan Novel English. Kening Julia berkerut. Dia bangun dari kerusi perlahan-lahan dan mengekori Amir. Terbongkok-bongkok Julia untuk mengelak dari Amir perasan.

“B, bila you nak break dengan Julia tu?” Terdengar suara seorang gadis merengek-rengek manja. Julia berdiri tegak sikit. Dari celahan buku, dia ternampak Amir berhadapan dengan Azie.

‘Amir dengan Azie?!’

“Sabarlah sayang. Dah tak lama dah.” Amir bersuara sedikit berbisik, tapi masih dapat didengari Julia. Julia telan liur.

“Dah tak lama dah, dah tak lama dah. Tapi tak break juga. I tunggu dekat setahun tau, B. I penat lah kita kena jumpa sembunyi-sembunyi gini. Dahlah itu hari I hampir-hampir nak kena belasah dengan Acap sebab kacau Julia tu.” Azie seperti merajuk.

“Apa you buat pada Julia?” Suara Amir sedikit meninggi.

Azie mengerutkan kening. “Yang you nak marah I ni kenapa? Tak boleh ke I nak kacau Julia tu? Kenapa? You memang ada hati dekat dia ke?”

Amir terdiam. Wajahnya berubah. “Bukanlah. I taknak you rosakkan plan I. Nanti kalau kantoi yang kita nak pedajal dia macam mana? Acap tu bukan boleh dibawa main.”

“Mana ada I buat apa-apa. Kan I cakap, I kacau sikit saja. Acap tu yang kecoh, tiba-tiba datang. Tapi I yakin, Acap tu suka pada Julia tu.”

Julia terdiam mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Azie. Dia menelan liur.

“I dah agak Acap tu memang sukakan Julia. Shit!” Amir menggenggam erat penumbuk buku limanya. Dia mengetap rahang kuat. Azie memandang Amir penuh ragu.

“You cemburu ke?”

Amir sedikit kalut. “Eh jauh sangatlah nak rasa jealous dengan si Acap tu.”

“Habis yang you nak marah-marah, berdendam ni kenapa? You jangan nak buat gila, B. Kalau I dapat tahu you ada hati pada Julia, siaplah!” Azie mengugut.

“Ala, you ni. Rilekslah. I tak ada apa-apa dengan Julia tu. Sekarang ni, kita jangan rushing sangat. Sampai masa, I akan break dengan dia. I pun bukan suka sangat dengan dia. Lembap, tak macam you. Sudahlah tu, tak pandai nak make up langsung. Pucat macam mayat.”
Julia mengetap gigi mendengar Amir mengutuknya.

Azie ketawa. “I tak sabar nak tunggu you dengan dia break. Ingat tau, kalau you nak break, make sure I ada dekat situ. I kalau boleh nak record muka dia masa tu. Rasakan. Dia ingat dia cari pasal dengan siapa? Ini Azie!”

“Okay up to you. Tapi jangan heavy sangat you buat dia. Okay?”

“Kenapa pula? Don’t tell me yang you sebenarnya dah jatuh hati dengan dia.” Azie merenung muka Amir dalam-dalam.

“Naaahh! She’s not my taste. You tau kan I sayang you sorang je.” Amir mengusap perlahan pipi Azie. Meremang bulu roma Julia. Perlahan Julia menghampiri Amir dan Azie yang saling berpegangan tangan. Riak muka yang terkejut boleh dilihat dari kedua-dua orang demon di depan Julia ni.

Julia tersenyum memandang Azie dan Amir secara bergilir. Suasana diam. Julia merenung Azie lama, kemudian dia tersenyum dan menggeleng-geleng. Dia lalu berpaling melihat Amir di sebelah Azie yang mula tidak kena berdiri.

“Terima kasih.” Julia berkata dan memberikan senyuman paling manis untuk Amir.

Julia melangkah menuju ke meja mengambil shaker Pilot dan buku latihan Add Mathnya lalu berjalan keluar dari perpustakaan. Panggilan Amir dibiarkan begitu saja.


***

HAMPIR dua bulan peristiwa di perpustakaan itu berlaku. Namun sekali pun Julia tidak menangis. Dia sendiri tidak tahu kenapa matanya terlalu tegar untuk mengeluarkan air. Mungkin dia terlalu kecewa dengan apa yang dah terjadi. Lelaki yang dia percaya, lelaki yang dia beri segala perasaan yang dia ada, rupa-rupanya hanya mempermainkannya saja. Sepatutnya dia sudah boleh agak perkara ni, tetapi akibat ikutkan hati dan perasaan sangat, inilah balasannya.

Dalam masa dua bulan ini, banyak kali Amir datang berjumpa dengannya. Tapi dia langsung tak pedulikan. Malas nak ambil kisah dah. Yang penting, dia sekarang nak fokus pada masa depan, memegang kata-kata Cikgu Maznah.

Kini, Julia tersenyum puas. Tak kisahlah apa yang dah terjadi, yang penting dia berpuas hati dengan paper Matematik Tambahan yang dia baru jawab tadi. Julia keluar dari dewan peperiksaan menuju ke tepi dewan, mengambil sling beg untuk meletakkan kalkulator dan alat tulis. Setelah lima tahun menunggu, dia kini sudah tamat menduduk peperiksaan SPM.

‘Semoga aku berjaya, Tuhan. Amin.’

“Julia!”

Julia baru nak melangkah menjauhi dewan ketika dia terdengar seseorang menjerit memanggil namanya. Julia berpaling. Dia melihat Ashraf berlari menghampirinya. Julia tersenyum.

“Dah nak balik?” soal Ashraf. Julia masih tersenyum.

“Ha ah.” Julia menjawab ringkas.

Ashraf mengangguk. Dia berjalan seiring dengan Julia. Julia mengerutkan kening, tapi dibiarkan saja Ashraf terus berjalan bersama dengannya. Lagipun, ini kali terakhir diorang akan balik berdua dari sekolah.

“How’s your paper?” Soal Ashraf. Dia sedikit lega apabila Julia dah tak larikan diri dari dia lagi.
Julia terus tersenyum. “Alhamdulillah. Aku puas hati. Tapi tak mau terlalu confident. Cuma aku harap aku boleh score dalam semua paper tu.”

“Oh great. Me too. Penat study. Kalau tak lulus dengan warna yang terbang, memang patah hatilah.” Kening Julia berkerut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Ashraf. Laju dia menoleh melihat Ashraf di sebelah.

“Lulus dengan warna yang terbang?”

“Pass with flying colours.” Ashraf menjawab sambil tersengih. Julia ketawa. Ashraf masih macam dulu. Suka cakap benda bukan-bukan.

‘Ya, Acap masih sama macam dulu. Cuma aku yang berubah.’

“Acap, boleh aku cakap something?” Julia memandang Ashraf di sebelahnya. Ashraf berpaling, mengangkat kening.

“Sepatutnya aku cakap benda ni dah lama. Tapi sebelum ni aku tak ada kekuatan. Jadi sekarang, baru aku rasa aku boleh cakap.” Julia diam sekejap. Ashraf masih menanti.

“Aku nak minta maaf sangat-sangat dengan kau, dari mula kita kenal, sampai sekarang, sampai bila-bila. Aku banyak buat salah dengan kau. Aku tak dengar cakap kau. Aku ikut kata hati aku yang kononnya betul sangat. Aku ignore kau yang selama ni ada dengan aku. Aku lebih terima orang yang baru saja masuk dalam life aku. Aku marah kau. Aku, aku minta maaf, Cap. Aku minta maaf sangat-sangat.”

Julia tunduk. Namun dia dan Ashraf terus melangkah menuju ke rumah.

“Kau tak salah apa-apa Jue. Kalau kau salah pun, dah lama aku maafkan kau. Aku faham keadaan kau masa tu. Kau ada hak untuk buat apa-apa yang kau rasa baik untuk diri kau. Aku pun salah. Sebab ikut sangat perasaan aku. Bila aku rasa aku marah dengan apa kau buat, aku pun terus jauhkan diri dari kau. Patutnya aku tolong kau masa keputusan kau teruk itu hari. Kan?”

Julia tergelak. “Aku bersyukur aku gagal Acap. Sekurang-kurangnya aku tau banyak kebenaran yang tersembunyi selama ni.” Ashraf mengangguk-angguk sambil tersenyum. “So kita sekarang dah berbaik-baiklah?”

“Masa bila kita bergaduh?” Julia bertanya sambil ketawa. Ashraf ikut tergelak, bersyukur dia dan Julia sudah kembali seperti dulu.

Terima kasih, Tuhan.

0 titik hujan: