Woot woot!


Just in case nak mengorat, email je. : AmalinaHamsan@gmail.com *wink*

Saturday, February 19, 2011

Laici dua, bang.

Naim duduk termenung atas kerusi plastik biru. Tiga empat orang yang lalu lalang di kedai makan milik ibunya, Hajah Mariam dipandang sepi. Sungguh dia tak ada mood langsung hari ni. Pak Karim datang untuk minum kopi, dia buat tak endah. Siti anak Cik Embun datang beli nasi lemak yang Kak Kiah hantar setiap pagi, dia buat-buat tak nampak. Dia rasa separuh jiwa dia dah pergi, bak kata Anang.

“Sudah sudah lah termenung tu, Naim. Baik tolong mak ni ha.” Hajah Mariam menegur dari dalam dapur. Dia baru siap masak beberapa lauk. Sudah pukul 11. Sekejap lagi pekerja-pekerja kilang pasti akan datang untuk makan atau cuma bungkus untuk dibawa pulang ke kilang.

Naim bangun dengan malas. Tugasnya setiap hari adalah untuk bancuh air. Kalau dulu, dia cukup liat untuk membantu maknya di kedai makan ini. Tapi disebabkan keputusan STPM nya tak berapa nak cantik sangat tiga tahun yang lepas, dia tak dapat pergi mana-mana, kecuali bangun awal pagi dan terus ke kedai makan ini. Sehinggalah satu hari, dia ternampak dua orang gadis datang makan di kedai maknya.

Nurin dan Zana.

Dan seperti sekarang, dia tiba-tiba jadi rajin dan mulutnya secara otomatis sentiasa mengukir senyuman. Kenapa? Sebab dia sudah nampak Nurin dan Zana melenggok-lenggok berjalan menghampiri kedai makan maknya.

“Minum apa, dik?”

Sedaya upaya Naim maniskan muka, lembutkan suara ketika mengambil order Nurin dan Zana. Dia tenung dalam-dalam muka Nurin, gadis kilang yang berjaya mencuri hatinya, yang berjaya memberikan cahaya di setiap hari-harinya, yang memainkan drama hebat dalam hidupnya.

‘Oh Nurin’


***


“Hai, Nurin. Baru balik kerja ke? Sorang saja?”

Naim memberhentikan motosikal Lagendanya, rasuah dari abang sulungnya supaya dia duduk dirumah membantu mak. Nurin yang sedang berjalan pulang dari kilang berhenti melangkah, memandang Naim yang tersenyum-senyum memandangnya.

“Ha ah. Baru balik kerja. Zana demam. Dia MC hari ni.”

Naim cair. Dia mengalir seperti air dan terus masuk longkang tepi jalan. Ok tipu. Sebenarnya, Naim macam nak pengsan dengar suara Nurin. Dia punya merdu, masyaAllah. Memang Naim tak kenal dah siapa Siti Nurhaliza. Sedap betul suara Nurin ni!

“Marilah abang hantar. Bahaya Nurin jalan sorang-sorang macam ni.”

Nurin menarik nafas. “Kalau Nurin balik dengan abang, selamat ke?”

“Ish ish ish. Tak baik tau Nurin berprasangka pada abang. Abang berniat baik pada Nurin. Takkan lah nak buat benda bukan-bukan. Lagipun, Nurin kan budak kampung abang. Abang kenal keluarga Nurin. Nurin jangan risau okay?” Naim terdiam. Dia pejam celik kan mata dua tiga kali. Tadi elok dia nampak wajah cerah berseri Take Care Garnier Nurin, tapi sekarang Nurin dah tak ada.

Naim kalut. ‘Betul ke yang aku jumpa tadi Nurin? Ah sudah! Entah-entah, tu jelmaan...’

“Nurin belakang abang lah. Tadi kan cakap nak hantar Nurin balik. Cepat lah.” Nurin bersuara dari belakang Naim. Naim toleh laju-laju. Rupa-rupanya Nurin dah pun naik atas motor. Entah bila dia naik, Naim tak perasan. Hebat betul rasa cinta ni.

“Nurin ni. Takutkan abang je. Pandai bergurau ye.”


***


Sejak hari Naim hantar Nurin balik kerja, mereka berdua terus jadi rapat. Seperti belangkas, ke mana saja berdua. Seperti merpati dua sejoli. Bagai pinang dibelah dua. Bagai aur dengan tebing. Umpama isi dengan kuku. Ibarat air dicincang tak akan putus walaupun mereka bukan adik beradik. Okay dah banyak sangat peribahasa, cukup.

Kalau Nurin kerja shift malam, Naim lah yang hantar ke kilang, dan baliknya pun Naim akan jemput sebelum Naim pergi ke kedai maknya. Jika giliran shift siang, pagi-pagi lagi Naim dah tercongok depan rumah Nurin dan kadang-kadang dia akan membawa Nurin makan malam selepas pulang dari kerja sebelum menghantar Nurin pulang ke rumah. Sering juga mereka berdua makan malam berlilin di kedai makan mak Naim sendiri. Jimaaatt!

“Nurin nak minum apa? Macam biasa?”

Naim bertanya ketika Nurin sedang memilih lauk untuk makan tengahari. Nurin angkat muka lihat kekasih hati, dan mengangguk sambil tersenyum. Kembang hati Naim melihat senyuman pencintanya. Sungguh dia mabuk asmara kali ni.

Siap air laici kegemaran Nurin di buat, Naim melangkah menuju ke meja kegemaran Nurin. Air diletak atas meja. Dia baru nak masuk ke dapur semula sebelum kembali melihat wajah mulus Nurin yang sedikit murung.

Naim tarik kerusi dan duduk di sebelah Nurin. “Kenapa ni, sayang? Ada masalah?”

Nurin mengeluh. Nasi berlaukkan sambal petai udang di usik-usik tidak bersuap. Mukanya masih kelam seperti tadi. Tidak tersenyum, seperti kesedihan. Naim gundah melihat Nurin sebegitu. Dia tak tau macam mana nak pujuk. Kalau lah dia ada mesin yang boleh buat dia baca fikiran kekasihnya itu, sudah lama dia gunakan.

“Sayang, janganlah buat abang risau. Cuba bagitau kenapa?”

Nurin menoleh melihat Naim di sebelah. “Nurin risaulah bang.”

“Kenapa?”

“Zana.. Dia dah lain sangat dengan Nurin sekarang. Lagi-lagi bila kitorang dah tak sama shift kerja. Kalau terserempak pun, bila Nurin tegur, Zana buat-buat sibuk. Nurin risau, kenapa dia macam lain sangat dengan Nurin sekarang.”

“Sebab Zana rupanya pengarang jantung abang ni monyok. Jangan risaulah. Zana ada masalah kot. Nurin cuba lah slow talk dengan Zana. Okay sayang?”

Nurin senyum sedikit dan meneguk air laici kegemarannya.


***


“Zana!”

Nurin cepat-cepat pegang lengan Zana ketika mereka terserempak di kawasan loker tempat simpan barang dalam kilang. Zana merentap sedikit lengannya. Nurin terdiam.

“Aku nak cakap dengan kau sikit.”

Zana mendengus. “Tak ada benda nak dicakapkan, Nurin.”

“Zana, kenapa ni? Kalau aku ada buat salah, bagitau lah. Jangan diam macam ni je.” Nurin cuba memujuk. Dia sayang Zana, macam kakaknya sendiri. Dia tak mau hilang sahabat.

Zana buat tak endah. Dia buka loker, ambil selipar dan terus menukar kasut yang dipakai. Dia buat cepat-cepat, terus nak balik. Malas nak mengadap Nurin. Zana kunci loker dan terus melangkah.

“Zana. Cakap lah.” Nurin terus mengejar.

Zana berhenti melangkah. Dia pandang Nurin, tajam. “Aku tak suka kau dengan Naim. Dari dulu aku sukakan dia. Tapi kau rampas dia dari aku. Kau memang kawan makan kawan!!”

Zana terus berlari laju meninggalkan Nurin terkulat-kulat keseorangan. Nurin bernafas laju. Sungguh dia terkejut mendengar pengakuan Zana. Selama ni dia tak pernah tau kalau-kalau sahabatnya itu turut menyimpan hasrat pada Naim, teman lelakinya.

Macam mana sekarang?


***


“Mak tengok kamu sekarang rapat betul dengan si Nurin tu. Ada apa-apa ke?”

Waktu itu malam ketika Hajah Mariam bertanya pada anak terunanya. Naim yang sedang menonton Samarinda : Ayoub, diam tak terkutik. Dia sebenarnya tak dengar apa mak dia cakap sebab dia kagum dengan watak Ayoub yang terlampau baik, dah masuk kategori lurus dah. Dan dia masih berfikir, ada ke orang macam Ayoub zaman sekarang ni? Hado?

“Naim Najmi!”

Laju Naim berpaling melihat maknya. “Apa mak ni panggil orang macam tu. Terkejut lah.”

“Dah mak panggil elok-elok kamu tak dengar. Ni mak nak tanya, kamu berkenan betul ke dengan si Nurin tu?”

Soalan Hajah Mariam terus merubah mimik muka Naim menjadi malu-malu dan diwarnai merah-merah dipipi. Sekeliling tubuhnya juga seolah-olah ada kerlipan-kerlipan cahaya. Cahaya cinta. Ok tipu. Apa kau ingat ni cerita magik? Nak berkerlip bagai.

“Kenapa mak tanya macam tu?”

Hajah Mariam membetulkan spek mata berantainya. “Kalau betul kamu sukakan dia, biar mak masuk meminang je. Mak tak sedap tengok kamu ke hulu ke hilir bawa anak dara orang. Mak tak nak nanti orang cakap mak tak pandai jaga anak.”

Naim terkedu mendengar maknya berkata begitu. Naim laju menghampiri maknya, dan memegang lutut Hajah Mariam. “Betul ke mak? Tapi Naim tak ada duit nak kahwin.”

“Itu kamu jangan risau. Pandai lah mak aturkan.”


***


“Nurin tak terima.”

Ringkas jawapan yang keluar dari bibir seksi itu, bibir yang menyeparuhmatikan hidup Naim. Kilat sabung menyabung. Hari yang terik tiba-tiba mendung dipayungi awan hitam kumulonimbus. Hujan lebat membasahkan tubuh Naim yang menggigil mendengar kata-kata Nurin. Ok tipu. Cuaca cerah je sebenarnya. Tadi tu efek cinta kena reject, biasalah.

“Kenapa, sayang?”

“Nurin tak mau kita bina kebahagian kita atas kesengsaraan insan lain, bang. Insan yang terlebih dulu datang dalam hidup Nurin sebelum abang. Insan yang terlalu Nurin sayang. Insan yang tak pernah Nurin terfikir untuk kehilangannya, bang.”

Nurin menutup muka menahan tangis kerana dia segan hidungnya yang akan kembang kempis ketika menangis di depan Naim. Naim pilu melihat Nurin yang sudah seperti Fasha Sandha dalam mana-mana filem menagih simpati.

“Siapa yang Nurin maksudkan, sayang?”

“Zana, bang. Selama ni, dia berdiam diri melihat kita bersama. Dia makan hati melihat kebahagiaan kita. Nurin tak tau yang selama ini dia sayangkan abang dalam diam. Sumpah Nurin tak tau bang.”

“Kalau Nurin tau, Nurin sanggup lepaskan abang pada dia? Nurin sanggup kecewa melihat abang dengan dia?”

Nurin mengangguk. “Nurin sanggup berkorban untuk Zana, bang. Segala-galanya untuk dia.” Dia terus menutup muka sekali lagi, menangis.

“Jangan, sayang. Abang tak sanggup kehilangan Nurin. Orang yang abang cintai, Nurin.” Naim meraih Nurin dalam pelukannya. Sayu dihati untuk membayangkan kehilangan cinta hati yang sudah lama didambanya selama ini.

“Habis, apa lagi yang kita boleh buat bang? Nurin buntu.”

Naim meleraikan pelukan. Dia meneliti raut wajah Nurin, memagang dagu milik gadis itu. Perlahan, dia mengangkat sedikit wajah itu agar bersetentang dengan matanya.

“Jangan risau. Percaya pada abang, sayang.”


***


Majlis perkahwinan anak Hajah Mariam begitu luar biasa meriahnya. Kemah kenduri ditempah sampai 12 buah. Warna coklat gelap, emas dan putih menjadi pilihan raja sehari. Hajah Mariam sendiri tak menang tangan; mana nak melayan tetamu, mana nak arahkan itu ini, mana nak tengok lauk dekat dapur.

“Hajah, bunga telur ni nak letak mana?”

“Hajah, nanti keluarga sebelah perempuan makan dekat dalam rumah ke luar rumah?”

“Lauk pengantin ni nak tambah lagi ke, jah?”

“Pukul berapa pengantinnya sampai?”

“Berapa kos perkahwinan ni?”

Ini antara contoh-contoh soalan yang terpaksa Hajah Mariam jawab berulang-ulang kali. Jumpa orang ni, tanya soalan yang pertama. Karang jumpa orang lain, dia tanya soalan yang sama. Mula-mula, terfikir juga Hajah Mariam untuk merekod semua perbualan agar dia tak perlu memperulang segalanya. Penat.

Kompang berbunyi.

Dari jauh, para tetamu sudah nampak satu perarakan dari simpang jalan menghala ke rumah Hajah Mariam.

“Pengantin dah sampai oiii!” Jerit seorang lelaki berbadan gemuk dengan tuala good morning terlilit di leher. Peluhnya mengalir laju menahan panas terik mentari.

Naim tersenyum bangga dengan baju melayu berwarna coklat gelap, bersamping emas dan berkeris di pinggang. Tengkoloknya tampan diatas kepala. Dia mengerling melihat Nurin yang akhirnya sudi mempersuamikan dirinya.

Orang ramai berkerut kening melihat Naim dan pengantinnya. “Yang mana satu pengantin perempuan?” Riuh orang bersoal jawab.

Hajah Mariam yang berdiri dipintu rumah tersenyum melihat anak lelakinya. Ketika raja sehari itu menghampiri pintu, Hajah Mariam menyuruh Naim berhenti dan mengadap tetamu. Naim dan pengantinnya menurut.

“Assalamualaikum semua. Terima kasih saya ucapkan kerana sudi menghadiri majlis persandingan dan majlis sambut menantu pada hari ni. Seperti yang semua sedia maklum, majlis persandingan hari ini adalah untuk anak lelaki saya, Naim bin Najmi yang telah selamat dinikahkan dengan menantu-menantu saya, Nurin Safwan dan Suzana Ismail.”

Orang ramai bertepuk tangan melihat Naim yang menikahi dua gadis sekaligus, yang lelaki kagum, yang wanita jelik. Naim tersenyum melihat Nurin di sebelah kanan dan Zana di sebelah kirinya.

Ini saja jalan yang ada agar tak ada yang kecewa.


***


“NAIM NAJMI!!”

Terangkat bahu Naim mendengar jerkahan maknya, Hajah Mariam yang bercekak pinggang memandangnya. Naim berkerut kening tanda merajuk, malu dimarahi didepan pelanggan. Dua gadis dihadapannya tertawa kecil.

Nurin dan Zana.

“Minum apa, dik?” Sekali lagi Naim bertanya.

“Laici dua, bang.” Naim mengangguk dan masuk ke bahagian membuat air sambil tersenyum-senyum.

“Kalau sekali lagi kamu berangan masa tengah ambik order customer, siap!”

Naim telan liur mendengar amaran maknya. Laju dia membuka tin laici, mengambil dua gelas, dan menyiapkan air laici yang diminta Nurin dan Zana. Dua gadis kilang yang cantik, yang menjadi isteri dalam drama hebat kehidupan angannya.

11 titik hujan:

.waniey jamaludin. said...

haha..senget..nmpk sgt naim nakal gile..lame betol die berangan

Amal said...

@waniey;
hahaha. naim memang. pesen kuat mimpi.

musethekiller@josh said...

haha. kalau aku jadi customer dia. memang makan kerusi ah.

iffahnazifa said...

Hahaha..berangan rupanya.
Nk dua2 skali lak tuh.
Melampau x hengat..:D

Anonymous said...

adoh...tergelak2 bc kisah naim nih..kurang sikit stress...cerita n bhs yg santai..keep it up
-lynn_razak-

Anonymous said...

betul2 ingat reality td..
berangan rupanya si naim 2...

amal said...

muahahahaha..sengal ! ingat ke betol betol die kawen due. aiyark~ eh,name kite samela..ngehehehhee

Kak Mina said...

Kat mana kita leh carik lelaki yang kahwin serentak dengan 2 wanita? Mesti glamer....

Anonymous said...

baca sampai nak terberak. ok tipu . sebenarnya memang nak terberak ni pun . kbai .

Jalak Lenteng said...

aku dah happy giler2 baca time die kawen 2 tuh...aku terkejut ade x pompuan yg sggup wat cmtu....bgus..kreatif...

nurwaheeda said...

bunkos! lawak giler. mmpi je...dh siap pelik apsal boleh kwin 2 sekali gus. haha.