PERTENGAHAN bulan Oktober.
Sudah genap setahun pertunangan Sarah dan Adam. Jika diikutkan perjanjian, selepas genap setahun, majlis pernikahan akan diadakan. Dan hari ini, aku berada dalam rumah sahabat baikku ini, memandang dia yang sedang didandan oleh juru andam.
“Kenapa?”
Aku tersenyum menggeleng mewakili jawapan untuk soalan Sarah. “Aku bangga kau dah nak kahwin.”
Sarah tersenyum manis. Dia menggenggam erat tangan aku. “Kau pun kahwinlah cepat-cepat!”
Aku hanya tergelak. Tak tau nak cakap apa. Memikirkan hal aku dan Razmil yang tak berkesudahan, aku jadi takut nak letak harapan tinggi-tinggi. Sebab aku takut kalau aku jatuh, aku takut untuk terus mati.
“Okay, dah siap. Akak keluar dulu. Nanti pengantin dah nak sampai, akak datang.” Kak Nurul, juru andam menepuk bahu Sarah perlahan. Sarah tersenyum dan aku mengangguk.
“So, tell me.” Sarah berpusing menghadap aku yang duduk dibirai katil.
Berkerut kening aku. “Apa?”
“AD yang aku kenal, ketawaaa je. Dahi tu tak pernah ada kerutan. Mulut tu, sentiasa tersenyum. Dan sekarang, yang ada depan aku ni, bukan AD yang aku kenal.”
“Ya. Sebenarnya aku ni jelmaan AD. Warrrr!” Aku membulatkan mata, berpura-pura nak takutkan Sarah.
Sarah ketawa. “Aww. Takutnya.”
Reaksinya membuatkan tawa aku makin kuat. Tapi tetap akhirnya menyebabkan aku menangis. Tersedu-sedu aku menahan air mata yang keluar. Inilah aku. Semakin rapuh sekarang. Sarah bangun dan duduk di sebelah aku. Tangannya perlahan mengusap bahu aku. Dia hanya diam, langsung tak bertanya apa-apa. Dia membiarkan aku menangis.
“Aku tak patut menangis masa hari kau bahagia macam ni, Sarah.” Aku mengesat air mata yang semakin laju.
Sarah menggeleng perlahan. “Keluarkan semua rasa sedih tu AD. Jangan pendam. Nanti makan diri. Jangan risau. Aku sentiasa ada.”
Aku peluk Sarah erat. Sarah di depan aku ini, masih lagi Sarah yang sama. Masih lagi Sarah yang aku kenal ketika aku masih sekolah. Masih lagi Sarah yang aku sayang belasan tahun dulu. Masih lagi Sarah Hashim, insan yang aku sangat sayang.
***
AKU tersenyum senang melihat Sarah dan Adam di atas pelamin. Sama cantik, sama padan. Alhamdulillah, segalanya selesai dengan sempurna. Aku berjalan menghampiri Sarah sebelum pulang ke rumah ketika satu suara menegur aku dari belakang.
“Adelia?”
Aku berpaling. “Adib?” Terangkat kening aku sedikit. Sejak akhir-akhir ni, aku selalu berjumpa dengan dia. Kalau dekat Melaka, memang logik lah. Tapi sekarang aku dekat Pahang, dan ini perkahwinan kawan aku, macam mana dia boleh ada?
“Macam mana boleh ada dekat kenduri ni?” Belum sempat aku buka mulut bertanya, Adib dah tanya aku dulu.
“Sarah tu kawan saya dari kecil.” Jawapan ringkas dari aku disambut anggukan dari Adib. Dia kemudian tersenyum. Dia segak macam biasa, walaupun hanya mengenakan tshirt hitam kosong. Aku jadi kelu, tak tau nak cakap apa bila berhadapan dengan Adib. Sejak malam tu, aku jadi malu nak berborak dengan dia.
“Ha. Datang pun kau!”
Aku berpaling ke belakang semula. Adam dan Sarah menghampiri kami. Adam pandang aku dan Adib. “Korang kenal?”
“Jiran, officemate, kawan.” Adib menjawab bagi pihak aku.
“Korang kenal?” Giliran aku pula bertanya pada Adam.
Adam tergelak. “Dia ni, best buddy aku. Kenal masa kerja.” Adam memaut bahu Adib. Adib terus tersenyum, mempamerkan lesung pipitnya. Haih. Keciknya dunia.
“Eh kau kata kau ada kerja dekat Langkawi?” Adam bertanya pada Adib. Aku terus diam menunduk.
“Aku sanggup cuti dua hari semata-mata nak tengok kau kahwin. Sekejap lagi ni aku terus pergi Kuantan, naik flight cepat sikit.”
“Betul ke sebab aku ni?” Adam mengusik sambil mengangkat-angkat kening memandang aku dan Adib silih berganti. Sungguh aku rasa nak balik. Sarah ketawa kecil melihat aku malu-malu. Damn it! Aku bukan malu-malu, aku cuma rasa tak senang.
“Korang lepak dulu boleh? Aku dengan Sarah nak jumpa saudara mara dulu.”
“Eh aku..”
“Okay. Pergilah. Kitorang tunggu.” Kata-kata aku dipotong laju oleh Adib. Sarah tersenyum dan dia berlalu pergi bersama Adam. Tinggal aku dan Adib. Agak-agak kalau aku lari balik je, tak apa kan?
“Kenapa nak balik awal sangat? Rumah awak tak jauh mana pun dari rumah Sarah ni kan?”
Aku mendongak sikit melihat Adib. “Awak tau saya duduk sini?”
“Banyak lagi yang saya tau pasal awak, yang awak tak tau.” Adib tenung aku. Aku tunduk laju. Dada aku bergetar lagi. Perasaan ini. Perasaan ini cukup pelik untuk aku rasa. Kenapa setiap kali dia tenung aku macam tu, aku jadi tak keruan?
Aku rasa nak lari.
***
KALAULAH tadi aku dengar cakap babah supaya balik pagi esok, kan bagus?
Aku tunduk melihat tayar kereta Civic putih aku yang meleper. Angin malam bertiup perlahan. Aku berdiri semula menanti kenderaan lalu lalang. Tapi tak beranilah pula nak main tahan-tahan je. Maunya yang aku tahan tu perompak, habis!
Nombor Razmil aku dail berkali-kali. Tapi tidak berangkat. Jam sudah pukul 11 malam. Kenderaan makin kurang. Tapi aku betul-betul bersyukur bila kereta aku pancit dekat kawasan Sungai Merab. Sekurang-kurangnya sudah hampir dengan rumah aku.
Tapi sekarang ni, macam mana nak balik? Takkan nak tidur dalam kereta kot?
Aku masuk dalam kereta, bersandar. Suhana balik kampung. Syahir, off handphone. Takkan nak call Makcik Latifah kot? Ish janganlah.
Deringan telefon ditangan kulihat. Adib?
“Dah sampai rumah?”
Tuhan, kenapa lelaki ini makin mengambil berat pasal aku? Aku telan liur perlahan sebelum menjawab soalan Adib. “Belum. Tayar kereta pancit.”
“Hah? Dekat mana ni?”
“Dah dekat sungai Merab dah.”
“Tunggu mekanik ke?”
“Tak. Tak buat apa-apa. Tak tau nak call siapa.”
“Razmil?” Tanya Adib. Aku terus terdiam. Tak tau nak cakap apa. Melihatkan aku terus diam, Adib menyambung. “Erm. Saya call Azreel sekejap. Suruh dia tolong tengok.”
“Eh tak payahlah.”
Tapi Adib terlebih dulu tamatkan panggilan. Aku mengeluh. Kalau boleh, aku tak mau susahkan dia. Aku tak mau dia sentiasa ada ketika aku susah. Sebab sepatutnya bukan dia yang kelam kabut menolong aku sekarang. Bukan dia.
Lima minit berlalu dan telefon aku kembali bergetar. Aku terus angkat. “Sekejap lagi Azreel datang. Awak ada spare tyre kan?” Laju suara Adib dihujung talian.
“Ye, ada.”
“Okay cool. Sekejap lagi Azreel tolong.”
“Awak dekat mana ni?”
“Langkawi. Saya baru sampai.”
Dia baru sampai, dia terus telefon aku semata-mata untuk tahu aku dah sampai rumah atau belum. Dia fikirkan aku dulu sebelum fikirkan diri dia.
“Maaf sebab susahkan awak.”
“Ish. Tak ada yang susah pun. Saya temankan awak sampai Azreel datang.”
Aku diam saja. Mendengar ayat ‘Saya temankan awak’ sudah cukup buat hati aku sayu. Razmil tak pernah macam ni dengan aku. Dia selalu fikir yang aku mampu buat semua perkara, jadi aku selalu dibiarkan sorang-sorang.
“Terima kasih, Adib.”
“Sama-sama.” Suaranya perlahan, dalam, seperti menahan sesuatu. Lampu yang terpantul dari cermin sisi mengejutkan aku. Sebuah motor berhenti ditepi kereta.
“Azreel dah sampai.”
“Okay. Nanti dah siap, bagitau.”
“Okay. Terima kasih.”
“Adelia,” panggil Adib. Aku diam menunggu ayat seterusnya. “Do call me, when you feel helpless.” Talian tamat. Perasaan ini datang lagi. Perasaan ini.
Adib.
***
BULAN November datang.
Aku semakin kerap mengunjungi rumah Makcik Latifah. Syahmil sering demam dua tiga minggu ni. Kalau Syahir tak ada, aku yang akan membantu menjaga Syahmil di rumah Makcik Latifah. Razmil tak ada. Dia pulang ke Johor Bharu. Ayahnya masuk hospital akibat serangan jantung.
“Syahmil dah makan ubat ke makcik?” Aku bertanya pada Makcik Latifah ketika dia masuk ke dalam bilik membawa sepinggan pulut panggang dan dua cawan teh suam. “Ala makcik ni. Susah-susah je bawa masuk bilik. AD boleh makan dekat dapur.”
“Tak susah mana pun. Tadi sebelum AD datang, makcik dah bagi Syahmil makan ubat dah. Panas badan dia pun dah kurang.”
Aku mengangguk perlahan. “Dia rindu papa dia kot.”
“Agaknya. Dekat seminggu Razmil dekat Johor. Makcik ada telefon dia, tapi sempat cakap sekejap je. Dia cakap dia kena jaga ayah dia dekat wad sekarang. Dia sorang je anak lelaki. Adik perempuan dia, sorang dah berkeluarga, sorang lagi tengah belajar. Tu tak dapat jaga.”
“Tapi sekarang kan tengah cuti sem?”
“Praktikal katanya.”
“Oh..”
“AD ada masalah ke dengan Razmil?”
Soalan yang keluar dari mulut Makcik Latifah menyesakkan dada aku. Aku tersenyum. Perlahan menggeleng. “Tak ada apa-apa masalah pun makcik.”
Aku dapat dengar keluhan dari Makcik Latifah. Aku angkat muka melihat wajah itu. Kemudian aku tunduk kembali bila Makcik Latifah merenung aku. “Makcik dah tua, AD. Macam mana pun kamu cakap tak ada masalah, makcik dapat rasa ada yang tak kena antara kamu berdua. Kan?”
Aku terdiam.
“Makcik anggap AD macam anak makcik sendiri, macam pengganti arwah Ira. Kalau boleh, makcik tak nak tengok AD murung macam ni.” Makcik Latifah genggam erat tangan aku.
Aku mengeluh perlahan. “AD takut makcik.” Aku tunduk lagi. Cuba sekeras mungkin supaya empangan air mata tak pecah.
“Takut apa, nak?”
“Takut pada perubahan Razmil. Takut pada sebarang kemungkinan antara AD dan dia. Takut kepada segala pengakhiran.” Aku rasa konkrit empangan tak baguslah. Tengok, dah pecah. Habis air mata melimpah.
Makcik Latifah mengusap pipi aku perlahan dan terus menarik aku dalam dakapannya. Aku dapat rasa pelukan Makcik Latifah mula erat. Terasa usapan lembut dibelakang badan. Terasa pujukan dari seorang ibu. Dan aku rindukan mama, rindukan babah.
“Makcik sentiasa doakan kebahagiaan AD. Makcik doakan.” Bisikan halus perlahan-lahan meresap masuk dalam tubuh aku yang menggigil menahan sedu. Aku dakap erat tubuh tua itu. Aku terus menangis.
***
AKU duduk bersila di antara rak-rak novel English walaupun di tangan ada novel Sang Pemimpi karya Andrea Hirata. Aku terus kuatkan volume MP3 dan tunduk membaca helai demi helai. Sudah lebih tiga kali aku baca novel yang sama, tapi aku tak pernah jemu. Sebab jalan penceritaannya cukup indah.
Duduk bersantai dekat MPH di MidValley dari pagi sampai petang pada hujung minggu cukup membuatkan aku rasa yang aku ni masih student. Tehehe. Sebenarnya hari ni aku keluar dengan Azreel. Dia minta aku temankan pergi beli barang. Tak tau apa mimpi budak tu ajak aku keluar. Tapi aku ikutkan je lah sebab dah bosan sangat duduk rumah masa hujung minggu.
Tapi apa aku buat dekat MPH ni?
Sebab tadi Azreel kata dia ada hal urgent, nak jumpa kawan dekat 3rd floor. Aku malas nak ikut. Jadi aku putuskan untuk duduk bersila bersenang lenang macam baca novel dekat rumah. Walaupun orang ramai, kanak-kanak lari-lari depan aku, tapi aku tetap gembira dengan keadaan macam ni. Aku tetap mampu senyum walaupun aku rasa aku keseorangan.
“Ouch!”
Aku memegang kepala. Sakit oi bila sebiji novel Vampire Diaries gedebuk jatuh atas kepala. Kalau aku pakai helmet tak apalah juga.
“Ya Allah. Cik, maaf cik. Maaf.”
Seorang wanita berkaca mata tunduk melihat aku yang menekup kepala kesakitan. Aku angkat muka. Liur diteguk perlahan. Aku geleng kepala dan bangun, berdiri berhadapan dengan wanita itu.
Hanim.
“Cik okay?”
Aku angguk teragak-agak. Tak tau nak cakap apa. Tak tau nak bergerak macam mana. Tak tau nak buat apa. Aku cuma ingat nak angkat kaki, dan pergi jauh-jauh.
“Saya minta maaf. Saya nak tengok novel tu, saya tarik, terjatuh.”
“Tak apa. Seriously, it’s okay. Sikit je. Dah tak sakit dah pun.”
“Saya minta maaf.” Sekali lagi ungkapan maaf keluar dari mulut wanita dihadapan aku ini. Aku diam. Terbayang pegangan tangan Razmil dan wanita ini. Terbayang kemesraan mereka. Aku pejam mata kuat-kuat.
“Saya pergi dulu.”
Aku terus letak novel walaupun itu bukan tempat yang sepatutnya. Aku pegang sling beg kuat-kuat dan terus berpaling.
“Adelia..”
Langkah kaki aku mati.
***
“MINUMLAH.” Segelas ais bersama satu tin Coca Cola diletakkan di atas meja. Hanim tarik kerusi dan duduk di hadapan aku. Aku angguk sedikit.
“Nama akak, Hanim.” Hanim memperkenalkan diri. Aku angguk lagi. Kenapalah aku berhenti masa wanita ini panggil aku. Kenapalah aku terus ikut dia untuk pergi ke food court. Dan sekarang, aku rasa macam orang bersalah, tunggu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
“Akak minta maaf sebab ajak AD tiba-tiba macam ni. Ada perkara yang kita perlu bincangkan.”
Aku angkat muka. “Perkara apa?”
“Pasal kita bertiga.” Hanim berhenti seketika sebelum menyambung semula, “AD, Razmil dan akak.”
Aku tunduk semula. Tangan erat mencengkam peha. Aku rasa masa dah tiba untuk aku betul-betul dengar semua kenyataan. Pahit atau manis, bukan hal yang utama lagi. Yang penting, aku perlu tau apa sebenarnya yang jadi.
“AD ni, siapa pada Razmil?” Ayat pertanyaan yang terlontar laju dari mulut wanita ini buat aku melayang. Soalan yang aku rasa aku tak dapat nak jawab. Soalan yang buatkan aku terfikir, siapa sebenarnya aku pada Razmil?
“Teman wanita?” Hanim masih terus bertanya bila melihat aku diam.
“Saya rasa penggunaan teman wanita tu macam tak berapa sesuai untuk saya dan Razmil.”
“Habis tu, kawan?”
Aku terdiam. Kawan ke? Sungguh aku tak tau. “Saya rasa lagi senang untuk saya cakap yang, he’s owning me.”
“Owning you? But are you really sure that you own him?”
Pelepow!
Eh tak tak. Aku tak tampar Hanim dan dia pun tak tampar aku. Cuma aku rasa aku ni macam kena tampar dengan gergasi yang tangan dia besar macam besar sebiji rumah. Dan bila kena tampar tu, aku terus melayang-layang last-last tercacak dekat tiang elektrik. Mati.
“AD, akak anggap AD macam adik akak sendiri. Sebab tu akak cakap semua ni. Akak tak nak AD kecewa. Akak tak nak AD terus berharap pada sesuatu yang takkan terjadi.”
Aku angkat muka. “Maksud akak?”
“Razmil cintakan AD. Ya. Itu satu perkara yang akak tak boleh sangkal. Tapi cinta tak semestinya mengikat kita. Cinta tak semestinya buatkan kita bersama sampai bila-bila.”
Aku terus renung wajah wanita ini. Kulitnya putih, mulus. Badannya yang sedikit berisi langsung tak mencacatkan apa-apa. Malah dia nampak lebih comel. Dan kaca mata itu menampakkan dirinya matang dan educated.
“Akak rapat dengan Razmil. Dan dia ada bercerita pada akak macam mana dia cintakan AD dari kali pertama dia jumpa dengan AD. Cuma dia tak yakin untuk hidup dengan AD. Dia tak rasa AD mampu untuk jadi seorang isteri pada dia. Sebab tu dulu dia terima cadangan famili dia untuk dikahwinkan dengan Ira. Bila Ira meninggal, dia mula percaya yang AD ni memang jodoh dia. Dia mula berhasrat untuk hidup bersama dengan AD. Dia mula simpan angan untuk membahagiakan orang yang dia cinta.”
Pandangan aku pada Hanim tembus entah ke mana. Tapi kata-katanya terus meniup-niup telinga, menyejukkan otak kepala sampai kecut. Menyahfungsikan hati di dalam.
“Sehinggalah akak dan dia bertemu atas urusan kerja. Kami berkawan pada mulanya. Tapi bila selalu berjumpa, akak mula rasa yang akak sayangkan dia.” Hanim tunduk seketika, mengeluh.
Kemudian dia menyambung. “Akak tau kewujudan AD. Tapi akak tak tau kenapa akak tak boleh berhenti dari berjumpa dengan dia. Dan akhirnya, Razmil cakap yang dia sayangkan akak jugak. Jika diberi pilihan, dia pilih akak untuk jadi isterinya. Dia takut untuk terima AD sebab dia kembali diselubungi kejadian dulu. Dia tak yakin untuk hidup dengan AD. Dia rasa AD tak mampu untuk harungi segalanya dengan dia.”
Tuhan…
“Akak minta maaf, AD. Akak terpaksa berterus terang. Akak tak mau tengok AD terus kecewa kalau berharap pada Razmil lagi.”
Aku bangun perlahan. “Terima kasih, kak Hanim.”
Aku berpaling dan terus berjalan keluar dari kawasan foodcourt. Aku dah tak mampu dengar apa-apa. Tak mampu nak tengok apa-apa. Tak mampu nak buat apa-apa. Aku terus berjalan. Terus berjalan.
“Kak AD.”
Satu panggilan beserta pegangan kuat di lengan memberhentikan langkah aku. Aku berpaling. Azreel berdiri sambil mengerutkan kening melihat aku. “Kenapa ni, kak?”
“Azreel dah siap? Kita balik?”
Makin bertambah kerutan di dahi Azreel. Tapi dia tak tanya banyak. Dia tarik tangan aku berjalan mengikutnya menuruni eskalator terus sampai ke groundfloor, menuju ke parking kereta dan terus masuk ke dalam kereta, tersandar. Aku seperti jasad tanpa roh, berjalan terus dibawa Azreel.
Kereta mula bergerak keluar dari kawasan MidValley. Aku tak kisah kalau Azreel nak bawa aku pergi mana-mana. Aku cuma, aku cuma nak pergi dari sini. Aku tak nak ingat apa-apa yang jadi hari ni.
“Kita berhenti isi minyak jap, kak.”
Aku cuma angguk. Azreel membelok masuk ke Petronas yang terletak di kawasan lebuhraya menghala ke Seremban.
“Akak nak apa-apa tak?” Azreel bertanya ketika sebelah kakinya sudah di luar kereta. Aku menggeleng. Azreel angkat bahu dan terus keluar dari kereta. Aku membuang pandang ke luar. Langit gelap walaupun jam baru pukul 3 petang. Aku terus memandang ke luar ketika kereta sudah mula bergerak dari Petronas. Aku tarik nafas perlahan. Mata dipejam.
Tuhan, semoga ini semua mimpi.
***
DENDANGAN lagu dari The Cardigan; Love Fool menyedarkan aku dari tidur. Perlahan aku buka mata. Aku masih dalam kereta. Jam sudah hampir pukul 5 petang. Dan aku masih dalam kereta?
“Kita dekat mana ni Azreel?” Aku menoleh melihat Azreel di sebelah. Mata aku membulat. Adib?
“Ehh! Mana Azreel? Macam mana awak boleh ada dekat sini?!” Sungguh aku kalut. Aku rasa aku keluar dengan Azreel. Kenapa aku nampak Adib yang tengah memandu? Aku masih dalam mimpi ke apa? Aku pegang kepala perlahan, rasa berdenyut.
“Tadi Azreel call saya masa korang baru keluar dari Mid. Dia ajak jumpa dekat Petronas. Sebab dia cakap dia tak tau nak buat apa dah supaya awak jadi macam biasa semula.”
Aku terdiam.
“Awak tak sedar langsung ke saya yang masuk kereta?”
Aku menggeleng. Sumpah aku tak tau.
“Bahaya. Kalau orang lain yang bawa lari awak, mesti awak tak sedar. Kan?”
Aku diam. Memerhati hutan dikiri kanan lebuhraya. Lebuhraya Karak. “Kita nak pergi mana ni?”
“Kita on the way pergi Genting.” Ringkas Adib menjawab disambut mata aku yang membulat. Dah petang, nak pergi Genting buat apa?
“Saya nak balik rumah.” Suara aku perlahan mencelah diantara lagu-lagu yang terpasang di radio. Adib menoleh melihat aku sekejap. Kemudian kembali memandu, membelok ke arah simpang membukit menuju Genting Highland.
“Saya temankan awak dekat sini.”
Aku terus tertunduk. Ayat ‘Saya temankan awak’ bermain-main di minda. Aku memautkan jari-jari antara satu sama lain. Satu persatu momen dengan Hanim tengahari tadi mula menguasai aku. Aku pejam mata rapat-rapat. Aku tak nak ingat semua tu! Aku tak nak ingat! Aku tak nak tau!
“Adelia, kita dah sampai.”
Aku buka mata. Adib berada di sebelah aku. Dia sudah pun membukakan pintu kereta. Hanya menunggu aku untuk keluar dari kereta. Aku melangkah dan berdiri di sebelahnya. Pintu kereta ditutup.
“Kita naik cable car.”
Aku hanya mengangguk. Ikut melangkah di belakang Adib. Aku terus berjalan tanpa arah. Dilanggar dan melanggar. Tapi aku tak kisah. Aku hanya paham satu perkara, aku harus terus ikut Adib. Seketika langkah aku mati apabila Adib turut berhenti berjalan. Dia berdiri tegak berhadapan dengan aku. Aku mendongak sikit melihatnya. Dia merenung aku jauh ke dalam mata. Renungan itu buat aku tak senang. Perasaan ini datang lagi.
Perlahan tangan dia memegang sedikit hujung lengan cardigan aku. “Just hold on to me. Please, don’t let it go.”
***
HIDUNG aku merah. Sudah hampir tiga kali aku bersin kesejukan. Mana tak sejuk? Aku hanya mengenakan tshirt maroon yang dibaluti sehelai cardigan hitam. Tebal manalah sangat sehelai cardigan ni kan? Aku mengusap-usap lengan, cuba memanaskan badan sendiri.
“Pakai ni.” Adib menyarungkan jaket hitamnya pada tubuh aku.
Aku mendongak sedikit. “Awak?”
“Tak apa. Jangan fikirkan saya. Saya okay.”
Aku menunduk, mengeluh perlahan. Kalau awak tak mau saya fikirkan awak, awak pun janganlah fikirkan saya.
“Tak sedap ke nasi lemak tu?” Adib bertanya pada aku. Aku angkat muka sikit dan kembali tunduk. Sebenarnya aku tak berapa nak masuk sangat makan dekat Oldtown CafĂ© ni. Rasa tak kena dengan jiwa. Tapi apa boleh buat. Nak cari kedai mamak dekat Genting malam-malam gini, macam tak payah je.
Minit-minit terus berlalu. Perbualan aku dan Adib langsung tak produktif. Sering soalannya aku biarkan dijawab oleh angin. Bukan aku pentingkan diri sendiri. Cuma aku rasa susah untuk berbicara sekarang. Aku rasa mulut aku terlalu berat.
“Jom.”
Aku ikut Adib bangun dan melangkah keluar dari Oldtown. Peh. Angin malam lagi membunuh. Aku nampak Adib menggosok-gosokkan tangannya.
“Sejuk sangatlah. Jom. Check in.” Adib memutuskan untuk terus ke hotel. First world hotel. Dan aku masih seperti petang tadi, hanya menurut langkah Adib. Segala-galanya dia uruskan. Sehinggalah aku tiba di hadapan bilik aku.
“Nah kunci.”
Aku ambil kunci dari tangan Adib. Ketika itu jari aku dan dia bersentuhan. Sejuknya! Kesian Adib. Aku dongak sikit melihat raut itu. Yang sentiasa ada ketika aku betul-betul sudah jatuh. Perlahan aku buka jaket yang Adib sarungkan pada aku tadi.
“Terima kasih.”
Adib tersenyum dan mengambil jaket itu. “Apa-apa, call saya.”
Aku mengangguk dan terus berpaling membuka pintu bilik hotel. Dan ketika itulah dada aku kembali bergetar hebat. Renungannya sempat menangkap aku di sebalik ruang kecil antara pintu sebelum tertutup rapat. Renungan yang sentiasa buat aku rasa tak senang.
***
AKU merapatkan lagi comforter di tubuh. Angin malam yang terusan bertiup cukup membuatkan aku menggigil di balkoni hotel ini. Tapi langsung tak membuatkan aku rasa nak masuk ke dalam. Getaran handphone di atas meja di hadapan aku sedikit mengganggu.
Saya ada belikan hot coffee. Nak?
Aku membaca mesej yang baru diterima. Mesej dari Adib. Aku bangun dari kerusi di balkoni bilik. Tudung putih yang tersidai di atas katil, aku sarungkan ke kepala. Dengan comforter membaluti tubuh, aku berjalan menuju ke arah pintu. Dan di situ, Adib berdiri tegak dengan dua cawan kopi di tangan.
“Masuklah.”
Aku melihat Adib melangkah masuk ke dalam bilik. Pintu dibiarkan terbuka sedikit. Kemudian aku terus berjalan menuju ke arah balkoni, duduk semula di kerusi tadi. Adib mengambil tempat di depan aku. Secawan kopi panas diletakkan di depan aku yang berkelubung semula dengan comforter.
“Sejuk-sejuk macam ni, kenapa duduk dekat sini?”
Aku terus wakilkan angin malam untuk jawab soalan Adib. Jemari aku perlahan memusing-musingkan cawan kopi di atas meja. Kepanasan yang ada perlahan-lahan meresap masuk ke saraf-saraf yang mula mati.
“Adelia..”
Suara itu memanggil lagi. Dalam. Tertahan. Aku angkat muka sikit dan memandang Adib yang melekatkan mata dia tepat pada aku.
“What is it about Razmil that you like?”
Aku tertunduk. Aku menarik comforter kemas-kemas bila angin malam bertiup. Nafas paling dalam aku hela. “I don’t know.”
Aku terbayangkan semula pertemuan aku dengan Razmil. Bermula dari detik dia terlanggar kereta MyVi aku dulu, sehinggalah dia menerima aku hampir setahun yang lalu. Tetapi segalanya tak kekal lama. Sejak beberapa bulan yang lepas, dia terus biarkan aku terumbang ambing dalam hidupnya. Perkara yang sama terjadi ketika satu masa dulu, sebelum dia disatukan dengan arwah kak Ira.
Jadi, kenapa aku boleh cintakan dia?
“Dua kali..”
Adib terus memandang aku. “Apa yang dua kali?”
Aku berpaling ke kiri, melihat kegelapan malam. “Dua kali dia tarik saya dan dua kali dia campak saya. Cuma kali ni, saya rasa saya dah tak boleh nak bangun. Saya dah tak larat.”
Teringatkan pegangan tangan antara Razmil dan Hanim, penafian dari Razmil, dan segala-galanya kata-kata dari Hanim siang tadi, begitu kuat untuk aku menjadi pecahan-pecahan kaca. Akhirnya, sekali lagi aku menangis di depan Adib. Sekali lagi aku teresak-esak memikirkan semua benda ni.
“Orang kata, kalau kita betul-betul sayangkan seseorang tu, kita patut sentiasa doakan kebahagiaan dia kan?” Aku pandang Adib dengan mata berkaca-kaca. Biarpun aku lap air mata banyak kali, tapi sekali pun tak pernah kering.
Adib angguk perlahan.
“Tapi, kenapa setiap kali saya doakan dia bahagia, saya tak nampak kelibat saya dekat sebelah dia? Kenapa akhirnya saya yang akan menangis macam ni?”
Aku kembali berpaling melihat suasana malam. Sungguh, aku pernah doakan supaya Razmil terus gembira ketika dia dengan Kak Ira satu ketika dulu walaupun hati aku hancur. Ketika aku dah terima segalanya, dia datang lagi. Dengan segala rasa yang aku ada, aku pimpin tangan dia semula. Aku dakap semua kesedihannya. Tapi macam mana susah payah aku usahakan sekalipun, dia tetap tak nampak. Dia tetap tak boleh terima. Dia tetap tak mampu untuk letak segala rasa percaya dan yakin pada aku.
“Saya… Saya nak lupakan semua ni.”
Aku menekupkan muka di atas meja. Comforter yang memeluk aku dari tadi, aku genggam kemas. Umpama satu tangan besar yang boleh membantu untuk tenang. Aku terus menangis. Terus teresak kuat. Terus membiarkan mata aku dilimpahi air.
“Luahkan semua. Saya ada dekat sini.”
Aku biarkan angin malam terus bertiup. Aku biarkan kopi panas tadi terus sejuk. Aku biarkan masa berlalu. Aku terus hanyut dengan perasaan yang melayang-layang.
1 titik hujan:
yup...suke3 perkembangan ni...^^
really hope Adelia dgn Adib...
Post a Comment