KAK Lia dan Abang Fazzrul tiba di rumah nenek sejurus selepas pengumuman Hari Raya Korban diumumkan di TV. Aku yang sedang memanjat kerusi plastik untuk memasang langsir hanya menjenguk dari tingkap kayu.
“Oii. Pasang langsir ke?” Abang Iqram yang baru muncul dari dapur berdiri di pintu rumah sambil bersalam dengan Abang Fazzrul. Abang Iqram dengan Kak Mia sampai tengahari tadi.
“Taklah. Tengah tukar minyak hitam kereta.” Jawapan aku disambut tawa kuat kak Lia. Abang Iqram jeling, Abang Fazzrul tersengih.
“Mana mama, AD?”
Aku menoleh melihat Kak Lia sambil membongkok sedikit menyalaminya. “Dekat dapur dengan nenek. Siap-siapkan bahan nak buat rendang. Babah tengah bersiap nak ke masjid kot.” Hah detail aku bagitau.
“Eh Pak Long mana?” Abang Fazzrul duduk di kusyen sekejap, melihat aku yang terkial-kial nak tarik wayar langsir ni. Nak pasang langsir tegang-tegang punya pasal. Aku nak kena suruh babah renovate sikit lah tingkap rumah nenek ni. Biar guna langsir yang pesen sangkut-sangkut dekat besi tu, senang!
“Pak Long dekat Melaka lagi. Dia gerak ke sini pagi esok, lepas ziarah kubur Arwah Apit.” Abang Iqram menjawab bagi pihak aku. Aku terus diam. Kak Dhiya dengan Abang Faris pun tak beraya sekali sebab kali ini giliran beraya dekat rumah Abang Faris pula.
“Eh abang ni tak nak pergi masjid ke? Sekejap lagi orang dah nak takbir raya dah.” Kak Lia menegur Abang Fazzrul yang masih melayan Abang Iqram berborak.
“Ha ah lah. Eh aku pergi mandi sekejap. Suruh babah tunggu. Kita pergi sama-sama.”
Abang Iqram mengangguk mendengar saranan Abang Fazzrul. Tak sampai lima belas minit, tiga orang lelaki itu sudah pun hilang dari rumah. Phew. Tak adalah aku kena sakit telinga dengar usikan Abang Iqram.
Sudah siap pasang langsir, aku bergegas ke dapur, memantau kalau-kalau rendang sudah siap. Bolehlah aku rasa. Ceh. Rasa lah sangat. Padahal perut aku ni lapar dia dah tak boleh nak diampunkan lagi.
“AD cakap Dina nak bertunang lepas raya Haji kan? Bilanya?”
Pertanyaan Kak Mia menyebabkan aku tersedak. Sumpah aku terlupa! Tapi dalam tengah tersedak ni, tak bermakna aku boleh terus ingat bila best buddy tu nak bertunang. Sekarang ni aku lebih perlukan air.
Agak-agak dah boleh telan air macam biasa, aku pandang Kak Mia dan nenek yang ketawa tengok aku. Apa benda entah yang kelakar tengok orang tersedak. “AD pun lupalah kak. Nanti kejap lagi AD call Dina.”
“AD bila lagi?” Mama mencelah. Haish. Soalan-soalan merobek jiwa ni tak boleh nak dilayan sangat. Karang aku juga yang nangis bawah shower karang.
“Asyik pergi kawan bertunang, kawan kahwin. Awak tu bila lagi?” Sekali lagi mama tembak aku. Ish mama ni banyak betul peluru kan?
Aku senyum pandang mama sambil seketul lagi ketupat berjaya menyerang tekak aku. “Tak tau lagi bila, ma. Dah sampai seru, kahwinlah.” Aku terus bangun bila pinggan dah pun licin. Terus aku menuju ke sinki dan mencuci pinggan. Tak boleh tahan juga bontot dan telinga aku nak menghadap bom-bom mama ni. Bahaya. Boleh bawa kepada serangan jantung.
Aku menuju ke ruang satu sudut tempat letak TV. Oh. Rumah nenek ada dua TV. Satu TV di ruang tamu di bahagian atas, satu lagi di ruang makan berhampiran dapur. Handphone aku selalunya aku letak di atas TV di kawasan dapur ni. Mudah aku nak mencapai walaupun tak tau kenapa aku nak kena mencapai handphone walaupun tak berbunyi.
“Salam Aidiladha.”
Greet yang konon-konon paling sopan aku buat bila Dina menjawab panggilan aku. Terdengar tawanya dari hujung sana. “Baik budi bahasa Adelia Dayani kita hari ni.”
“Hahah. Banyaklah kau punya budi bahasa. Ni sihat tak?”
“Aku sihat. Makin gemuklah. Risau pula baju bertunang tu tak muat.”
Aku ketawa mendengar keluhan Dina. “Agak-agak tak muat, get ready lah dengan baju kelawar. Senang.”
“Jadah apa pakai baju kelawar. Haha. AD, datang tau!”
“Haa. Inilah sebab kenapa aku call kau. Aku lupa bila kau bertunang. Tiga atau empat hari lepas raya?”
Terdengar Dina menjerit kegeraman. “How come kau boleh lupa hari aku bertunang? Damn. Kecik hati.”
“Hahahaha. Come on lah Dina. Orang kata, kalau kecik hati ni selalunya berkadar songsang dengan isi daging dalam badan tau. Makin kecik hati, makin besar kandungan isi daging dalam badan kau tu.”
“AD!!”
Aku terus tertawa. Lama juga dah tak berborak dengan si senget ni. “Kidding lah. Tapi sumpah aku tak ingat bila.”
“Haha. InsyaAllah hujung minggu ni, enam hari dari sekarang. Datanglah awal sikit. Kau tidur rumah aku ya.”
“Eh tak apalah. Aku stay rumah Pak Long je. Tak maulah susahkan kau. Nanti saudara mara kau lagi.”
“Ala tak ada yang susahnyalah.”
“Aku bukan apa. Karang aku risau kalau-kalau ada pakcik makcik kau yang berkenan nak bermenantukan aku, terus buat kenduri sekali. Kan dah mengganggu gugat hari kebahagiaan kau.”
Dina dah meledak ketawa. Ha inilah masalah budak sorang ni. Kalau dah ketawa, tak reti nak berhenti. Kalau dekat lampu merah, confirm dah kena langgar. “Hah apa-apa jelah kau tu. Tapi yang penting, you have to come tau!” Ujar Dina selepas berjaya kawal diri.
“I will, babe. Aku nak juga tengok pasangan gay aku ni jadi tunang orang.”
Kata-kata aku disambut tawa yang semakin kuat dari Dina. “I’m gonna miss our old days, babe.”
Selepas talian tamat, aku terus duduk di tangga rumah nenek. Kegelapan malam ni selalu saja berjaya tarik aku untuk terus berkhayal. Aku rindukan zaman aku belajar. Rindu nak bergaduh dengan Dina, nak makan sampai kenyang tak boleh bangun, nak menangis sama-sama. Aku rindu semua tu.
Kerana dalam masa enam hari lagi, aku akan hilang kekasih aku yang lagi separuh ini.
***
AKU merenung sembilan dulang hantaran di atas katil yang sudah siap dikemas cantik. Hantaran-hantaran yang bertemakan warna hijau dan putih. Hanya dihiasi bunga ros hidup berwarna putih dan hijaunya dari daun bunga itu sendiri. Riben putih dililit riben hijau yang lebih lebar saiznya melingkari segenap bentuk untuk setiap hantaran.
Indah, sungguh indah.
“Tengah plan nak buat warna apa untuk bertunang ke?” Satu suara diiringi tepukan dibahu memeranjatkan aku. Aku berpaling melihat Dina yang sudap siap dirias mak andam, kakaknya sendiri.
“Ya Allah. Kawan aku ke ni?” Bulat mata aku tengok wajah Dina. “Cantiknya!”
Dina ketawa. “Janganlah puji lebih-lebih. Baju ni limited je ruang dia. Karang terkoyak, seksi meksi aku time mak si Hafiz nak sarungkan cincin nanti.”
“Haha. Tapi sungguhlah. Kau tak pernah make up. I mean, yang betul-betul make up lah. Once muka ni dah kasi renovate, memang lain gilalah. Berseri betul.”
“Renovate ya?” Dina mengulangi perkataan yang aku gunakan dan dia ketawa. “Kau bila lagi, AD?”
Aku angkat kening. Dina ni memang satu kepala dengan mamalah. Soalan nak satu pesen je. “Kalau ada, kau orang pertama aku bagitau.”
“Kau dengan Razmil okay?”
“Halemak. Tak nak lah cerita benda-benda yang boleh kasi spoil mood. Ini hari, hari bahagia kau. Aku nak, kau tutup mata hati kau untuk dengar masalah aku untuk hari ni. Fikirkan pasal kau dan Hafiz saja. Okay?”
Dina tersenyum. “Alaa. Sikit je. Kasi hint je. Aku kena tau apa berlaku babe. Kau kan half life aku.”
“Mengada. Half life apa benda. Sikit jam lagi kau nak jadi Hafiz punya. Dah dah. Fokus pada dia.”
“Sikit jam lagi. Bukan sekarang. Come on.” Dina masih memujuk. Ha ni lagi satu masalah Dina. Selagi dia tak tau, dia tetap akan buat apa-apa saja untuk tau.
“Okay lah. Gini, aku sendiri pun tak tau apa akan jadi sebenarnya. Cuma aku rasa, aku dah mula untuk tak berharap pada dia sebab aku yakin, antara aku dan Razmil, kitorang tak pernah ditakdirkan untuk ada pada satu jalan yang sama.” Dina mengangguk-angguk dan aku terus menyambung, “I’m going to continue my study.”
“Betul?”
“Ha ah. InsyaAllah. Kalau tak ada apa-apa masalah, aku join intake bulan Julai ni.”
“Master in...?”
“Pure Math.” Aku menyambung. “Jangan risau. Aku buat master dekat UKM juga. Dekat je kalau kita setakat nak huhahuha berdua.”
“Cool! Wah. Tak sangka aku kau nak sambung master ye? Dulu kau cakap dah malas nak sambung belajar.”
Aku tersenyum. “Dulu memang malas. Tapi sekarang, aku ingat nak sambung master dan nanti apply jadi lecturer. Ada rezeki, mungkin aku nak sambung phD. Tapi tak sure lagi. Itu untuk perancangan sekarang. Apa-apa yang jadi akan datang, kita tengok jelah macam mana.”
Dina mengangguk-angguk lagi. Tangan aku digenggam perlahan. “Whatever kau buat babe, aku tetap ada untuk sokong kau dari belakang. Ingat tau, apa-apa yang jadi, jangan segan silu untuk terus contact aku. Bertunang, berkahwin bukan penyebab untuk kita letak penghadang untuk persahabatan kita. Sebab aku dah anggap kau lebih dari kawan aku, babe.”
Aku nampak ada genangan air di mata Dina. Ah cik adik sorang ni saja bikin aku nak menangislah.
“Dina, kalau kau anggap aku lebih dari kawan kau, kenapa kau pilih Hafiz jadi suami?”
Bulat mata Dina. Satu starlight melekat dekat dahi aku. “Bengong!”
***
AKU duduk bergoyang kaki di meja makan di dapur rumah Ibu. Majlis tahlil untuk arwah atuk Adib baru saja berakhir. Orang yang semakin berkurang di depan rumah langsung aku tak hiraukan. Aku lagi selesa duduk di meja ini, sambil makan tembikai susu. Sedap!
“Akak nak lagi tak?” Alia datang dari hadapan dengan sepinggan tembikai susu ditangan.
“Amboi. Perli akak ke apa ni?” Kata-kataku hanya disambut tawa Alia. Dia tarik kerusi dan duduk di sebelah aku. Tangannya mula cargas mencampakkan tembikai susu ke dalam mulut.
“So, macam mana dengan ‘honeymoon time’ ni?”
Alia menoleh melihat aku sambil menelan sisa-sisa tembikai dalam mulut. “Tak berapa nak honeymoon sangatlah kak. Cikgu sekolah Alia ni lain macam sikit. Kitorang ni nama je form four. Tapi belajar macam nak SPM lagi dua minggu.”
Aku angkat kening dengan maksud –yeke?-.
“Betul kak. Bosanlah. Kitorang baru nak rasa remaja-remaja sikit. Tapi balik sekolah, homework menimbun. Add math je nak sampai habis satu buku kalau buat latihan. Belum lagi nak kena ingat fakta-fakta Sejarah, formula Fizik, sistem pembiakan tumbuhan lagi. Hadoi. Botak juga Alia nanti.”
Aku ketawa mendengar bebelan gadis depan aku ni. “Tak apalah. Memanglah sekarang rasa malas, rasa bosan. Tapi nanti dah habis belajar, mesti Alia harap Alia boleh sekolah sampai bila-bila.”
“Tapi kalau boleh Alia nak cepat dewasa.”
Aku menggeleng laju. “Jangan. Dewasa tu menyebabkan kita mula dijangkiti penyakit.”
“Penyakit apa, kak?”
“Macam-macam jenis penyakit. Penyakit mahukan kesempurnaan, penyakit nak jadi kaya, sampai akhirnya, semua dah tak kenal erti kawan. Masa inilah kawan tu kita buat tikam. Bunuh depan-depan.”
“Hah?” Alia dah bertukar jadi Ziana Zain bila dia main angkat-angkat kening sebab tak paham apa yang aku cakap. Dan sebenarnya aku pun tak paham apa aku cuba sampaikan pada budak berumur 16 tahun ni.
“Tak apa. Alia tak perlu paham. Cuma ingat satu perkara, masa muda, masa yang berapi-api!”
Mata Alia membulat kegirangan. “Alia tau! Alia tau! Itu Haji Rhoma Irama yang cakap kan? Seniman dari Indonesia.”
Aku mengangguk-angguk perlahan. “Exactly. Thanks for giving me a chance to read all of Andrea Hirata’s novel.”
“Oh. Akaklah yang pinjam eh novel-novel tu semua?” Soalan Alia aku balas dengan anggukan dan dia terus menyambung. “Along berahsia sangat nak bagitau siapa yang nak pinjam. Akak rupanya. Ingatkan Kak Yuni.”
Yuni. Dah lama aku tak dengar nama tu.
“Dik, Ibu panggil.” Adib berdiri di muka pintu dapur.
Alia menoleh. “Dekat mana?”
“Dekat depanlah. Pergi cepat.”
“Along jangan nak tipu eh. Tadi Ibu pergi rumah Cik Yati hantar lauk kenduri.” Alia menjawab sambil terus menyumbat tembikai susu dalam mulut. Adib terdiam. Aku tergelak. Nak menipu tak agak-agak budak Adib ni.
“Ibu dah baliklah. Pergi cepat.” Suara Adib sedikit tegas kali ni. Nak tak nak, Alia ke ruang depan. Pinggan berisi tembikai susu yang sudah tinggal separuh dibawa pergi sekali. Dan sekarang, tinggal aku dan Adib saja. Suasana janggal mula memainkan peranan.
“Dengar cerita, nak sambung master. Ya?” Adib bertanya sejurus selepas dia mendarat duduk di kerusi sebelah Alia duduk tadi.
Aku tersengih. “Laju juga radio bergerak dekat sini.”
“Hahaha. Tak jauh mana lah. Tapi kalau range kawasan besar, memang cepat sampai.” Adib masih tenung aku. “So, betul?”
Aku menelan tembikai susu perlahan. “Ha ah. Dalam perancangan, macam tu lah. Kenapa? Nak sponsor ke?” Aku ketawa di akhir ayat.
Adib tergelak. “Kalau saya kaya, bukan setakat nak sponsor belajar je, nak beli Mini Cooper pun saya boleh bagi dua biji.”
“Hahaha. Taknaklah Cooper. Kecik, mahal. Baik bagi duit tu pada saya. Boleh saya pergi Europe.”
Adib mengangkat kening. “Amboi. Nak pergi Europe seorang?”
“Ha ah.” Aku memasukkan lagi seketul tembikai susu yang dipotong dadu ke dalam mulut, mengunyah dan membiarkan Adib terus menunggu kata-kata yang keluar dari mulut aku. “Kalau boleh, saya nak travel naik train. Nanti boleh berhenti dekat setiap negara.”
“Hmmph. Cool juga idea tu. Nanti saya nak ikutlah.”
“Tapi lambat lagilah. Kena tunggu baki akhir dalam akaun saya tu dah cecah hampir lima angka ke.Heheh.”
“Berapa puluh tahun lagi?”
Aku ketawa mendengar soalan Adib. Sinis juga lelaki ni. Tapi betul juga apa dia cakap tu. Aku pun tak tahu entah bila aku dapat melancong pergi luar negara kalau nak tunggu duit dalam akaun banyak. Haiyo. Nak kena cari kerja yang lebih baiklah.
“Nanti nak sambung master dekat mana?”
“Erm dalam perancangan, dekat UKM je. Senang sikit. Rumah sewa pun dah ada.”
“Ambik Math lagi?” Soalan Adib kudengar ketika aku bangun mengambil gelas di rak pinggan. Aku menoleh sekejap melihatnya.
“Ha ah. Pure Math.” Peti ais depan mata aku buka dan gelas kosong tadi aku isi dengan Dutch Lady Full Cream. Dah tuang susu ke dalam gelas, aku baru perasan aku bukan dekat rumah sendiri. Tak malu betul!
“Eh. Saya suka-suka je minum susu ni. Siapa punya ni?” Aku mengangkat sedikit gelas berisi susu yang sudah separuh isinya.
Adib tergelak. “Alia punya. Alah minum jelah. Bukan jauh mana pun kedai nak beli kalau habis.” Aku tersengih dan kembali duduk di kerusi tadi, menghabiskan sisa-sisa air dalam gelas.
“Nanti dah habis master, bolehlah apply jadi lecturer kan?” Adib menyambung kata bila melihat aku diam sambil memusing-musingkan gelas berisi susu yang dah kosong.
“InsyaAllah. Kalau boleh, memang nak jadi lecturer lah. Dulu rasa macam tak boleh nak mengajar. Tapi bila fikir balik, sampai bila kan? Sebab tu saya cuba dan saya mulakan dengan kanak-kanak.”
“Good. Tapi kanak-kanak dan remaja, lain kan?”
“Exactly. Sebab tu saya nak cuba. Walaupun saya ni taklah hebat sangat masa mengajar dekat Tadika dulu, tapi saya dah belajar macam mana nak bersabar, nak kawal marah saya. Saya tau saya memang perlukan perkara ini semua untuk menjadi seorang pengajar. Tak kisahlah untuk mendidik kanak-kanak kecil, atau pun remaja. Betul tak?” Aku memandang Adib.
“Bosannya dengar orang tua bersembang.” Suara Alia yang mencelah menyebabkan aku berpaling. Alia berdiri memeluk tubuh di pintu dapur.
“Hey. Akak muda lagi tau. Dia ni je yang dah tua.” Aku menunjukkan jari telunjuk pada Adib. Adib membulatkan mata melihat aku disambut tawa Alia.
“Along memang dah tua kak.” Tersisa lagi tawanya di hujung ayat. Aku tersenyum. Adib bangun dari kerusi, berjalan menuju ke ruang tamu dan sempat mencubit pipi Alia yang masih berdiri di situ.
“ALONG!!”
***
“MANA selipar ni?”
Terbongkok-bongkok aku mencari selipar hitam putih yang biasa aku guna sejak aku duduk dengan nenek. Dari dapur membawa ke halaman depan rumah, masih tak ada. Mana pula selipar ni bawa diri. Takkanlah selipar buruk tu pun ada yang nak ngambiknya.
“Cari apa, Adelia?” Nenek menjenguk dari tingkap kayu diruang tamu. Aku berdiri tegak. Adoi. Sakit pinggang bila terbongkok dari tadi.
“Selipar AD, nek. Yang hitam putih tu. Nenek ada nampak tak?”
Nenek diam sekejap, berfikir. “Bukan ke pagi tadi kamu basuh selipar tu sebab kena berak dengan si Yiyi?”
Yiyi berak? Yiyi yang disebut nenek adalah seekor ayam jantan yang nenek bela. Nenek nak letak nama Kuning. Tapi aku bantah. Ayam tu dibeli dari Pakcik Syukri. Jadi aku cadangkan letak nama Yiyi. Barulah comel sikit.
Laju aku tepuk dahi dan terus ketawa. “Haha. Betullah nek. AD jemur dekat atap reban belakang tu ha. Hihihi.” Aku ketawa sendiri. Nenek menggelengkan kepala perlahan sambil melihat aku melangkah ke belakang rumah semula. Ni entah sejak bila aku mula terkena penyakit alzheimer entah. Senang sangat nak lupa letak barang dekat mana.
Selipar dah tersarung dekat kaki, aku terus berjalan ke arah bawah rumah. Basikal arwah atuk yang masih elok keadaannya aku ambil dan sorong ke tepi rumah. Tempat duduk basikal tu aku tepuk-tepuk sikit. Berhabuk.
“Nek!” Aku panggil kuat sikit.
Sekali lagi nenek suakan kepala di tingkap. “Ya?”
“AD nak pergi pantai sekejap. Nenek nak ikut tak?”
“Ish tak maulah nenek. Petang ni nenek kena pergi rumah Long Embun dekat hujung sana tu. Ada nak undi kutu.”
Kening aku berkerut. “Kutu apa, nek?”
“Kutu duit. Nenek ada main kutu dengan orang kampung ni.” Aku mengangguk-angguk. Basikal arwah atuk, basikal lama yang tayar sebesar tayar traktor. Kalau tak kena gaya, baru je nak duduk atas tempat duduk, boleh jadi terduduk atas tanah.
“Bawa basikal tu hati-hati. Nanti nak melintas jalan besar tu, tengok kanan, tengok kiri, tengok kanan.”
Eh nenek ni dah macam buat iklan melintas jalan raya dah. “Ye nek. Nanti nak balik, AD belikan mee bandung dekat warung Wak Jaki dekat dengan pantai tu eh.” Nenek mengangguk-angguk dan aku mulakan kayuhan.
Peh. Memang best betullah kalau duduk kampung. Petang-petang ni, angin dia memang sedap. Aku terus kayuh perlahan-lahan. Terserempak dengan makcik-makcik, aku senyum. Berselisih dengan budak-budak, aku tergelak dengan telatah dorang. Sampai dekat simpang selepas masjid, aku berhenti.
Seperti pesan nenek, tengok kanan, tengok kiri, tengok kanan. Dan lintaslah dengan selamat! Lurus ke hadapan, aku boleh nampak laut di hujung jalan. Kayuhan aku makin laju. Apabila tiba, aku tongkatkan basikal di kawasan berbatu. Kemudian dengan berhati-hati, aku memijak batu-batu yang ada yang dijadikan sebagai benteng, dan turun ke kawasan berpasir. Aku berdiri tegak merenung laut yang dihiasi titik-titik hitam kecil, dipantuli cahaya matahari petang. Titik-titik hitam itu adalah kapal-kapal nelayan.
Angin petang semakin kuat bertiup. Selendang hitam yang tersarung dikepala meliuk lintuk menari bersama angin. Aku duduk di atas seketul batu. Aku mendongakkan kepala melihat langit biru di atas yang dihiasi awan-awan putih yang berlari perlahan. Seketika, aku menghela nafas paling dalam. Satu persatu perkara bermain di kepala.
Teringat pula kali terakhir aku pergi ke laut ni, ketika Shafiq mengajak. Dia lah yang bersusah payah membawa aku yang berat ni untuk sampai ke laut. Dan akhirnya, aku sekali lagi berjaya sampai di sini.
Walaupun tanpa Shafiq.
0 titik hujan:
Post a Comment