Woot woot!


Just in case nak mengorat, email je. : AmalinaHamsan@gmail.com *wink*

Thursday, March 17, 2011

Destini : EmpatBelas.

AKU menarik nafas perlahan setelah lama duduk atas kerusi menyiapkan laporan pembelajaran murid-murid di Tadika KEMAS ini. Hampir semua jenis regangan aku lakukan, dari leher, tangan dan kaki. Meletup-letup bunyinya. Haih macam dah reput dah tulang aku ni.

Fail ditutup dan disusun semula dibahagian rak-rak disebelah meja. Aku mengambil handphone dari dalam handbag. Tak ada mesej baru, tak ada siapa yang menelefon.

Jam di dinding dikerling. Sudah pukul 10.10 pagi. Sekejap lagi ada kelas semula. Sekali lagi aku menarik nafas dan bangun dari kerusi. Aku berdiri di pintu bilik guru dan terus memerhati kanak-kanak yang berumur dari 4 hingga 6 tahun berlari-lari bermain di taman permainan yang disediakan.

Senangnya jadi kanak-kanak kan? Tak perlu fikir apa-apa. Bangun tidur, mandi, makan, menangis, bermain. Hanya berseronok.

“Cikgu! Cikgu!” Jerit seorang budak perempuan ketika aku baru nak menutup pintu bilik guru.

Aku berpaling laju. “Kenapa Azwa?”

Azwa, kanak-kanak lima tahun berambut kerinting halus paras pinggang tercungap-cungap menarik nafas, penat berlari entah dari mana.

“Bila, cikgu! Huh. Bila.”

Aku mengerutkan kening. “Kenapa dengan Bila? Cuba tarik nafas, cakap perlahan-lahan.” Azwa menggeleng. Dia tak ada masa nak terangkan. Dia tarik tangan aku supaya mengikutnya.

“Kenapa ni Azwa?” Aku terus bertanya tapi Azwa dah tak boleh nak jawab. Dia terus berlari menuju ke kawasan taman permainan. Kawasan buaian. Bulat mataku ketika sampai di situ apabila melihat Nabila yang lebih senang dipanggil Bila, sedang duduk terjelupuk menangis tersedu-sedu. Aku menghampirinya.

“Bila..” Panggilku perlahan. Bahunya kupegang.

Nabila angkat muka melihat aku. “Cikgu, Quan jahat! Dia tolak Bila cikgu. Dia tolak Bila sampai jatuh.” Tangisan Nabila makin kuat. Kesian pula budak ni.

Aku menoleh melihat seorang kanak-kanak lelaki diam berdiri tak terkutik. Zaquan memegang erat tangannya, menunduk. Terbayang kerisauan, bersalah diraut wajah kanak-kanak mulus itu.

Aku angkat Nabila. “Tak apa. Nanti cikgu jumpa Zaquan. Sekarang, kita cuci luka Bila dulu.”

“Sakit, cikgu.” Nabila terus menangis dalam pangkuan aku. Separuh dari kanak-kanak tadika mengerumuni aku, Nabila dan Azwa. Semua cuba untuk menenangkan Nabila yang menangis tak berhenti menahan sakit. Dan semua mengekori aku yang sudah pun menghala ke bilik sakit yang tersedia di tadika ini.

“Biar akak cucikan luka Bila. AD tolong tengok Zaquan tu.” Kak Jihan, salah seorang guru disitu mengambil alih Nabila dalam dukungan aku. Aku mengangguk mendengar saranan Kak Jihan. Melihatkan Nabila yang sudah pun terbaring atas katil di dalam bilik tersebut, aku kembali menuju ke kawasan buaian. Dan kanak-kanak itu masih berdiri, menunduk seperti tadi.

Aku duduk dibuaian, berhadapan dengan Zaquan. “Zaquan..”

“Quan.. Quan minta maaf cikgu. Quan salah. Kalau Quan tak tolak kuat-kuat buaian tu, Bila tak jatuh, cikgu. Quan salah.” Dan anak kecil itu terus menangis teresak-esak. Dari tadi dia menahan air mata rupanya. Luluh hati aku tengok budak kecil macam ni menangis.

Aku tarik Zaquan supaya lebih dekat. Sambil tangan aku tolong lap air matanya, aku tersenyum. “Kenapa Quan tolak laju-laju? Quan marah Bila ke?” Soalku lembut.

Zaquan menggeleng laju. “Tak cikgu. Bila kan kawan baik Quan. Kenapa pula Quan nak marah dia.”

“Habis tu, kenapa Quan tolak laju-laju?”

Zaquan mengesat saki baki air mata dipipi. “Bila panggil Quan masa Quan tengah main bola dengan Naim. Dia minta tolong Quan tolakkan buaian dia. Quan tolaklah. Dia suruh Quan tolak laju-laju. Quan cakap, tak boleh. Nanti jatuh. Tapi dia nak juga. Quan tolaklah. Dia suka sangat, dia tepuk tangan. Dia tak pegang tali buaian. Sebab tu dia jatuh cikgu.”

Aku tersenyum. Ini sebenarnya yang jadi. Bukan Zaquan sengaja.

“Okay. Cikgu dah faham. Tapi lepas ni, cikgu tak nak benda macam ni jadi lagi. Quan kena lebih berhati-hati. Kalau Quan sayang Bila, sayang Naim, sayang kawan-kawan Quan yang lain, Quan kena jaga diorang semua. Quan faham kan?” Aku cuba berdiplomasi.

Zaquan mengangguk memahami.

“Okay sekarang jom ikut cikgu. Kita tengok Bila.”

Zaquan mengangguk laju. Dia lantas mengekori aku yang sudah pun bangun menuju ke bilik rehat tadi. Aku terus tersenyum. Anak-anak kecil ini ibarat satu perjalan yang lurus ke hadapan. Kena pandai memberi arah petunjuk untuk mereka terus berjalan. Kalau tersalah panduan, dia akan terus sesat.

***

“DAH sampai pun AD.”

Aku tersenyum, tunduk menyalami Makcik Latifah, ibu arwah kak Ira. Sejak kak Ira meninggal, aku rajin bertandang ke rumah Makcik Latifah. Saja melihat keadaan Syahmil yang kini sudah pun tujuh bulan. Cepat betul masa berlalu kan?

“Syahmil mana, makcik? Senyap je.” Aku mencari-cari di sekitar ruang tamu. Tiada Syahmil, yang ada cuma sebakul barang mainan dia.

“Tidur. Ada dalam bilik makcik. Penat sangat. Malam tadi meragam tak tidur. Tu yang dia tidur ni.”

“Meragam? Perut dia sakit ke?” Aku berlalu ke dapur mengikut Makcik Latifah. Nak siapkan masak untuk tengahari. Selalunya aku akan pergi rumah Makcik Latifah selepas persekolahan tamat, dan pulang hanya bila hari menjelang petang. Kadang-kadang hari minggu aku akan tidur di sini, menemani Makcik Latifah yang hanya tinggal dengan anak lelakinya, Syahir yang masih belajar di German Malaysian Institute (GMI).

“Tak taulah makcik nak cakap. Makcik dah urut, dah tidurkan dalam buaian, dah tukar lampin semua, menangis juga lagi.”

“Kenapa tak call AD? Boleh AD datang malam tadi.”

Makcik Latifah tersenyum. “Tak apalah. Tak mau susahkan AD. Lagipun dah malam. Agaknya, Syahmil rindu papa dia kot.”

“Ala makcik ni. Tak jauh mana pun Kajang dengan Putrajaya makcik. Erm abang Razmil tak balik?”

“Ha. Yang itu lagi sorang. Makcik tak tau dia dekat mana. Minggu ni tak ada balik langsung.” Makcik Latifah mengeluh. Berkerut kening aku.

Seminggu tak balik? Dia pergi mana pula? Mesej aku pun tak berbalas.

“Agaknya dia sibuk tak, makcik?”

“Sibuk pun, sekurang-kurangnya telefon makcik. Makcik bukan berkira sebab tolong jaga Syahmil, AD. Itu je satu-satunya tinggalan Ira yang makcik ada. Tapi makcik taknak Razmil tu lupa tanggungjawab. Dia masih ada anak. Makcik taknak Syahmil ni kurang kasih sayang.”

Aku terdiam. Agaknya dah lama Makcik Latifah pendam dalam hati. Tapi memang aku sendiri pun perasan, Razmil berubah dua tiga bulan kebelakangan ni. Nak kata makin sibuk, dia masih kerja yang sama. Kenapa ya?

“Tak apalah makcik. Nanti AD cakap dengan dia.”

Makcik Latifah tersenyum. “Macam mana sekolah hari ni?”

“Ha cakap pasal sekolah. Budak-budak, makcik. Ada aje yang jadi. Tadi si Zaquan tolak buaian laju-laju sampai Nabila jatuh. Lutut dengan tapak tangan dia luka. Nasib baik tak ada apa-apa.” Aku sedikit tertawa.

“Budak-budak biasalah. Bila dia ada pengalaman, baru dia akan faham.”

Aku mengangguk mendengar kata-kata Makcik Latifah. Nasihat orang tua ni sememangnya betul. Mereka lebih dulu makan garam, ye dak?

***

AKU mendail nombor Razmil buat kali ketiga. Sudah dua kali aku cuba menelefonnya, tapi tidak berangkat. Dan cubaan kali ketiga juga sama, sia-sia.

Dah pukul 11 malam. Takkan lah tak balik kerja lagi.

Aku duduk seorang depan TV. Suhana dah pun pergi kerja. Satu demi satu channel TV aku lihat, tapi tak ada yang menarik perhatian. Sudahnya aku tutup terus TV tu. Koleksi CD dan DVD yang terletak pada rak dalam kabinet TV aku belek satu persatu. CD Radiohead- Kid A aku ambil. Satu persatu lagu dimainkan sehinggalah sampai pada lagu kegemaran aku, How to Dissapear Completely.

Ringtone Going Away-Meg & Dia mengganggu aku yang baru nak sampai dekat angkasa. Nama Razmil muncul di skrin. Aku tersenyum.

“Ada apa call banyak kali ni?” Satu terjahan bersama gaya bahasa yang aku tak suka dengar. Senyuman terus mati.

Aku mengeluh sikit. “Sejak bila AD cuma boleh call abang sekali je?”

“Hmmph. Kenapa? Abang busy lah. Kan abang dah cakap, apa-apa, biar abang yang call.”

“AD tau abang busy. Tapi takkan sampai tak ada masa nak balik rumah mak, bang. Abang tak rindu Syahmil ke?”

“AD tak payahlah nak cakap apa-apa. Syahmil anak abang, abang tau nak jaga.”

Jawapan yang agak menaikkan darah aku sebenarnya. “Macam mana abang jaga? AD tak pernah nampak pun abang jaga. Yang AD tau, makcik Latifah yang susah payah siang malam jaga cucu dia tu.”

“AD nak apa ni? Kalau setakat nak ajak abang bergaduh, please. Abang tak ada masa untuk semua tu.”

Aku menarik nafas panjang. Lelaki ini terlalu berbeza sekarang. “AD tak minta abang luangkan masa untuk AD. Tapi baliklah jenguk Syahmil, bang. Dia dah rindu papa dia. Janganlah untuk anak pun, abang kata abang tak ada masa juga.”

Razmil terdiam lama.

“I need to sleep. Thanks for calling. Good night.” Terus aku mematikan talian. Sesak dada kalau bercakap dengan Razmil sekarang ni.

Aku berjalan menuju ke balkoni. Gelap malam tak menjanjikan apa-apa, hanya dingin yang terus mencucuk-cucuk kulit. Aku mengeluh. Kebahagian yang Razmil pernah janjikan satu masa dulu, macam dah mula berakhir.

Kan?

***

BULAN Ogos menuju ke penghujung. Lagi dua hari, bulan Ramadhan akan tiba. Tadika sudah mula bercuti sejak seminggu yang lalu. Babah dan mama merancang untuk berpuasa di rumah Pak Long. Bersahur dan berbuka beramai-ramai dan semua diwajibkan hadir.

“Babah, I’m on my way pergi rumah Pak Long ni.” Aku terus bersuara ketika babah mengangkat telefon.

Babah ketawa. “Babah dah dekat Melaka dah.”

“Eh? Pagi tadi masa AD call kan babah dekat rumah lagi?” Berkerut juga kening aku bila babah cakap babah dekat Melaka dah. Cepat betul!

“Masa tu babah baru lepas breakfast dengan Pak Long sebenarnya. Hehehe.”

“Tengok tu! Main tipu. AD ingatkan babah dekat Pahang lagi.” Marahku cuma menambahkan lagi volume ketawa babah. Geramnya!

“Alaa. Mama ajak pergi awal. Tak apa. AD datang nanti, makanan mesti semua dah siap. Dah dah. Drive carefully.”

Babah menamatkan panggilan. Aku tersenyum. Tak sabar rasanya nak menyambut Ramadhan bersama dengan keluarga. Handphone yang diletakkan pada holder aku tekan satu demi satu mencari nama Razmil. Handsfree dibetulkan sedikit dan menunggu panggilan diangkat.

Panggilan pertama gagal, macam biasa. Sememangnya kalau panggilan pertama dah dijawab, itu merupakan perkara paling ajaib untuk tahun itu. Punat hijau ditekan lagi sekali, dan seperti yang pertama, tidak berangkat. Aku hela nafas dalam-dalam. Kadang-kadang tak tertahan juga sabar. Tapi aku tetap dail untuk kali ketiga.

“Abang busy ni.” Satu suara menyusul laju, tak sempat nak beri salam dah. Dan ini sememangnya biasa.

“AD on the way balik rumah Pak Long ni. Abang nak datang tak esok? Nanti boleh berpuasa sama.” Aku tidak mempedulikan suara Razmil yang sedikit tinggi tadi.

Razmil mengeluh kuat. “Abang tak ada masalah. Kan abang busy. Berapa kali nak kena cakap ni?”

“AD cuma ingatkan abang. Kalau tak boleh, tak apalah. Tak perlu nak up kan volume suara abang. AD belum pekak lagi.” Razmil diam. Aku tak tunggu lama, terus letak. Tak nampak keperluan untuk aku terus berusaha tersenyum dan cakap ‘bye’ pada dia.

Aku terus memandu ke selatan. Album Glen Hansard dan Marketa Irglova sedikit sebanyak membantu aku bertenang semula. Dan tak sampai dua jam, aku dah sampai depan rumah Pak Long. Cuma ada kereta babah, Pak Long, abg Sham dan abg Wan. Kereta adik beradik aku tak ada pun lagi.

“Assalamualaikum.” Salam diberi sambil aku mengeluarkan beg dari tempat duduk belakang. Seorang lelaki dengan bayi perempuan dipangkuan keluar.

Abang Sham tersenyum. “Waalaikumsalam. Masuk AD.”

“Hai Baby Rina.” Aku cuit anak abang Sham, Sabrina yang sudah pun masuk tiga bulan. Baru pandai nak ketawa-ketawa, comel pula tu. Ada lesung pipit.

“Hai acu. Datang sorang je ke? Pakcu mana?” Abang Sham bersuara halus seolah-olah Sabrina yang bertanya.

Aku tergelak. “Pakcu busy la, Rina. Dia mana ada masa dengan acu.”

Abang Sham angkat kening pandang aku. “Lain macam je bunyi tu? Bergaduh ke?”

Aku cuma terus tertawa sambil angkat bahu. Aku melangkah masuk ke dalam rumah, melihat nenek sedang duduk di ruang tamu sambil menonton TV. “Assalamualaikum, nenek.”

“Waalaikumussalam. Eh Adelia. Dah sampai pun.” Nenek tersenyum sambil menyambut huluran tangan. Aku terus duduk di sebelah nenek, memeluknya sekejap.

“Nenek dah lama ke sampai?”

Nenek memperlahankan volume TV. “Dah tiga hari. Sham ambik nenek dekat kampung.” Nenek melihat Abang Sham yang masuk ke dalam rumah. Aku mengangguk-angguk perlahan. Mata sedikit melilau mencari kelibat orang lain.

“Lepas solat tadi, semua masuk bilik. Penat. Berehatlah tu.” Nenek yang seperti faham, memberitahu. “Adelia dah solat? Pergi solat dulu. Dah nak dekat pukul 3 ni. Lepas solat, kita makan.”

“AD cuti, nek. Tak apalah. AD hantar beg masuk dalam bilik dulu. Nanti kejap lagi AD turun.”

“Amboi. Tak payahlah puasa lusa.” Abang Sham menyampuk. Aku berpaling laju. Terlupa ada abang Sham dekat ruang tamu.

“Sibuk je!”

Abang Sham ketawa kuat. Aku buat tak tahu dan terus seret beg naik tingkat atas, menuju ke bilik arwah Shafiq, yang sudah pun menjadi bilik aku. Terus aku hempas badan atas katil. Penat rasanya.

“AD?”

Aku angkat kepala. Kak Sofea sudah melangkah masuk. Aku baring semula bila Kak Sofea duduk di birai katil. “Penat ke drive?” Soal Kak Sofea perlahan.

Aku tersengih. “Boleh tahanlah kak. Dah lama tak drive jauh-jauh.”

Kak Sofea senyum. Dia meniarap dekat sebelah aku. “Razmil tak ikut?”

“Tak. Dia cakap dia busy. Tak taulah kak. AD pun dah dekat sebulan tak jumpa dia. Nama je duduk dekat.”

“Busy? Abang Sham kata dia dah cuti dari tiga hari lepas.”

Laju aku berpaling tenung Kak Sofea yang pandang aku dari tadi. Kening aku berkerut. “Dia tak cakap apa-apa pun pada AD.”

“Oh dia tak bagitau eh?”

Respon Kak Sofea ‘oh dia tak bagitau eh?’ sangat buat hati aku jadi tak sedap. Sungguh. Rasa ada benda lain yang tengah berlaku, dan aku tak tau apa-apa.

“Erm akak bukan nak masuk campur. Tapi ni pun abang Sham yang suruh akak bagitau AD. Kot-kot ada salah faham.” Kak Sofea menyambung. Aku pandang siling semula. Kenapa aku tak tau apa-apa? Kenapa macam nak berahsia sangat sekarang ni?

“Dah. Pergi mandi. Tadi mama AD ada masak macam-macam. Kitorang dah makan. AD belum lagi. Lepas mandi boleh makan.” Kak Sofea dah bangun dari katil. Dia berjalan menuju ke pintu sebelum menoleh semula, “Akak cuma bagitau. Tapi jangan terus berprasangka. Make sure AD tanya dulu. Okay?”

Aku duduk di atas katil, mengangguk. Lepas pintu bilik di tutup, aku baring semula. Cuba pejam mata, tapi fikiran menerawang. Sesekali, aku urut kepala yang mula berdenyut.

Apit, macam mana sekarang?

***

KETIKA aku melangkah masuk ke dalam bilik, jam berdenting dua belas kali. Aku duduk di birai katil dan tangan laju menekan punat-punat pada handphone.

Selamat menyambut bulan Ramadhan, bang.

Messege sent.

Aku meletakkan handphone di atas meja kecil di tepi katil lantas mengambil buku kecil bertajuk Addicted to Weblog : Kisah Perempuan dalam Dua Dunia karya Labibah Zain, seorang penulis dari Indonesia. Buku kecil ini merupakan kumpulan-kumpulan cerpen yang menceritakan tentang dunia wanita yang aku jumpa pada rak buku milik arwah Shafiq. Satu persatu helai muka surat aku selak. Sesekali mengerling pada handphone di sebelah.

Masih tiada balasan setelah hampir setengah jam mesej dihantar. Keluhan kedengaran. Kemudian aku melihat jam dinding tepat menunjukkan pukul 12.30 malam. Handphone tadi dicapai.

“Happy birthday, babe.” Ujarku laju sejurus selepas talian disambungkan. Tawa kedengaran dari pihak sebelah sana.

“Thanks, dear. Kau ingat juga kan?” Dina masih lagi ketawa.

“Amboi. Kau ingat aku ni ada Alzheimer ke apa?”

Dina terus ketawa. “Tak adalah. By the way, terima kasih tau.”

“Hehe. Aku doakan, kau sihat macam biasa, dan semoga perkataan bahagia sentiasa lekat dekat kau.”

“The sweetest wish from my damn bestfriend!” Dina menjerit girang. Aku tersenyum. “Rindulah dekat kau. Bila kita nak jumpa ni?” Dina terus menyambung.

Aku terdiam sejenak, memikirkan masa lapang yang aku ada. Eh! Macamlah aku sibuk sangat dengan kerja kan nak fikir-fikir pasal masa lapang konon. “Aku dekat rumah Pak Long ni. Aku balik KL nanti, kita berbuka sekalilah. Nak tak?”

“Ok cool! Nanti kau dah ada dekat KL, roger aku. Aku belanja.”

“Ok kejap lagi aku sampai.”

Dina ketawa. “Kau kalau pasal belanja, laju je kan, AD? Tak berubah.”

“Hahahahaha. Rezeki jangan ditolak babe. Eh ni Hafiz tak call?” Aku bertanya. Risau juga kalau-kalau mengganggu Dina dan Hafiz nak berborak. Almaklumlah, birthday girl.

“Tak apa. Hafiz dah call dari 11.30 tadi. Dia penat. Sebab tu dia call awal-awal. Esok pagi ada meeting pula tu. 12.25 dah stop. Dia pun faham kot-kot family aku nak call ke, kawan aku nak call ke.”

“Oh. Baguslah macam tu. Memahami.”

“Ha ah. Eh kau tanya aku ni, kau tak bergayut dengan cik abang ke?” Dina ketawa sedikit di hujung ayatnya.

Aku turut tertawa kecil. “Cik abang busy sangat. Manalah ada masa nak telefon aku ni.”

“Bunyi macam jauh hati je ni?”

“Dah memang jauh dah. Hahaha.”

Dina terdiam. “Kau okay?”

“Hahaha. Tak tau nak cakap. Bila dah terbiasa macam ni, aku rasa sama ada aku okay atau pun tak, tak merubah apa-apa. Kan?”

“Kau jawab macam ni, seriously buat aku nak sangat jumpa kau.”

“Haha. Tak ada apa-apalah. Aku okay je pun. Tapi nanti aku dah balik KL, I’ll let you know. Okay?”

“Okay, AD. Lagi sekali, terima kasih. Aku sayang kau sangat-sangat. Dan aku pun harap yang perkataan bahagia tu tak lari jauh sangat dari kau.”

Aku tersenyum.

***

AKU meneliti satu persatu raut yang melangkah masuk ke dalam restoren Village View yang berdekatan dengan Terminal Kajang. Restoren yang mengaplikasikan suasana kampung, dengan atap yang dihiasi rumbia, meja dan kerusi dari kayu, sungguh cantik. Tapi cantik sangat pun tak guna juga kalau aku tetap sorang-sorang duduk dekat sini. Penat melihat ke pintu masuk, aku pandang ke depan. Ada yang datang berpasangan, berkumpulan, dan berkeluarga.

Semuanya punya teman, kecuali aku.

Jam hadiah dari babah aku lihat. Sudah hampir 7 petang. Tak sampai beberapa minit lagi, waktu berbuka akan tiba. Tapi aku masih belum nampak kelibat Razmil. Sepatutnya petang ini kami akan berbuka bersama. Sudah hampir sebulan setengah tak berjumpa, aku sengaja mengajak dia berbuka sekali. Tapi sampai sekarang aku masih tak nampak dia.

“Maaf, cik. Lama menunggu.”

Seorang pekerja lelaki di restoren itu menghampiri dengan dulang ditangan. Aku mengangkat muka sedikit, dan tersenyum. Memberi peluang untuk dia meletakkan makanan dihadapan aku. Setelah pekerja tadi berlalu, aku memandang satu persatu lauk di atas meja. Dua pinggan nasi putih, tomyam campur, kailan goreng, ayam goreng kunyit, udang goreng tepung, air tembikai untuk Razmil dan air epal untuk aku. Semua makanan ini adalah makanan kegemaran Razmil.

Tapi sekarang mana Razmil?

Telefon dari dalam handbag aku ambil dan mula mendail nombor Razmil. Dan seperti kebiasaan, panggilan pertama dan kedua tidak berangkat.

Sampailah panggilan ketiga, “I’m driving, Adelia.” Razmil berkata laju.

“Oh. Abang dah on the way ke sini ye? Okay tak apalah. AD tunggu abang.”

“Ke sini, ke mana?”

Kening aku berkerut. “Kita kan nak berbuka sekali petang ni, bang. AD tunggu abang dekat Village View ni.”

Razmil terdiam lama.

“Abang..?”

Razmil berdehem sedikit. “Abang dah dekat Kampung Bharu ni.”

Kampung Bharu? Restoren ni ada buka cawangan dekat sana jugak ke?

“AD tunggu abang dekat Village View Kajang, bang.”

“Sorry. Tapi sekarang abang dah dekat Kampung Bharu.” Sekali lagi Razmil memberitahu.

“Buat apa dekat sana?”

“Abang berbuka dengan kawan dekat sini.”

Aku terdiam. “Tapi bukan ke kita dah janji nak berbuka sama?”

“Sorry.”

Maaf. Ya. Teruskanlah minta maaf. Aku rasa air mata aku dah nak menitik dah. Dan tak tau aku punya halusinasi atau apa, aku terdengar suara seorang perempuan di sebelah Razmil. Aku meneguk liur. Cuba untuk tak mahu berfikir yang bukan-bukan, tapi mulut ni jenis peramah sangat.

“Abang dengan siapa tu?”

“Kawan.” Ringkas jawapannya. Tapi sedikit pun aku susah nak percaya.

“Okay. Selamat berbuka puasa, bang.” Tak sempat nak tunggu Razmil cakap apa-apa, dan aku tahu dia tak akan cakap apa-apa, aku terus tamatkan panggilan. Aku ketap bibir sedikit. Merenung makanan di hadapan aku.

Sejenak, terdengar azan berkumandang menandakan waktu berbuka puasa sudah tiba. Perlahan, aku capai sebiji kurma yang memang dihidangkan di setiap meja. Aku gigit sedikit, dan meletakkannya di pinggan nasi. Air suam diteguk. Pahit. Sebab aku rasa aku dah tak larat nak tanggung rasa perit ni.

“Adelia?”

Perlahan aku dongak angkat muka. “Adib?”

Adib tersenyum. Dia dan kemeja hitamnya yang dilipat hingga ke siku, nampak kemas, nampak handsome gila! Eh aku sepatutnya berada dalam mood kecewa kan?

“Sorang je?” Soal Adib, masih berdiri sambil memegang kerusi yang berhadapan dengan aku. Aku tersenyum mengangguk. Laju Adib menyambung, “Banyaknya makan? Nasi sampai dua pinggan. Lauk pun kemain lagi. Awak tunggu someone ke?”

“Razmil?” Adib memang tak bagi aku peluang untuk buka mulut langsung.

Aku angkat kening sedikit. “Ha ah. Memang tunggu dia, tapi dia ada kerja pulak. Tak boleh nak datang sini.”

Adib mengangguk-angguk. “Sekejap eh.”

Aku mengerutkan kening sambil melihat Adib berlalu ke arah satu sudut ruang yang menempatkan meja panjang. Ada sekumpulan lelaki dan wanita yang duduk di meja itu. Adib dilihat bercakap-cakap sebentar dengan mereka sebelum mencapai blazer dan beg galasnya dan menuju ke arah aku semula.

“Saya temankan awak.” Ujarnya ketika blazer dan beg itu diletakkan di kerusi di sebelahnya, dan dia terus duduk dihadapanku. Aku terus pandang wajah lelaki berlesung pipit ni. Adib memandang aku. “Kenapa?”

Seperti tersedar, aku menggeleng laju. “Tak apa ke awak teman saya berbuka ni? Kawan awak tak kisah?”

“Tak ada apa-apalah. Diorang okay. Kitorang ni pun tak ada plan pun nak berbuka sekali. Tapi sebab semua habis kerja awal, bos ajak berbuka sekali.” Adib menjawab sambil tersenyum. “Kita makan eh?”

Aku mengangguk. Adib terus mencedok tomyam dan mula menikmati hidangan. Aku pula yang rasa serba salah. Macam mana Adib cakap tak ada apa-apa masalah sekalipun kalau dia makan dengan aku, aku tetap nampak beberapa wajah khususnya wanita, tak puas hati bila nampak Adib makan berdua dengan aku.

“Macam mana kerja tempat baru?” Aku menyoal Adib sambil menggigit udang goreng tepung. Kalau tak salah aku, Pak Long ada cakap, sudah hampir setengah tahun Adib mula bertugas di syarikat baru, di Bangi. Tapi sekalipun aku tak pernah terserempak dengannya. Ini baru pertama kali dia bertemu dengan Adib sejak kenduri di rumah Pak Long, hampir setahun yang lepas.

Adib capai air tembikai, disedutnya sedikit. “Alhamdulillah. Kerja okay. Kerja yang sama, cuma syarikat dan bos je yang lain. Kadang-kadang tu,rindu juga nak kerja semula dengan Tuan Haji. Tapi tak apalah. Dapat jumpa dia dekat rumah pun dah kira okay.”

Tergelak aku mendengar kata-kata Adib. Tapi ada betulnya. Pak Long pun kadang-kadang bagitau yang dia sayang sebenarnya nak lepaskan Adib. Adib pekerja contoh. Tapi tak apalah. Untuk kebaikan Adib juga.

“Awak macam mana?”

Aku senyum sikit. “Saya okay. Macam gini aje. Masih kerja dekat Tadika seksyen 4 tu.”

“Tak mau sambung master? Nanti boleh jadi pensyarah.”

“Tak sure lah. Rasa macam dah malas nak belajar. Hihi.”

“Kalau malas belajar, kahwin je lah.” Ada tawa dihujung ayat Adib. Aku tergelak sedikit. “Belum ada plan apa-apa?” Sambung Adib. Dia terus tenung aku, dalam.

Aku berkerut, membalas tenungannya. “Plan apa?”

“Ye lah. Awak dengan Razmil. Awak dah kerja. Dia pun dah memang stabil sangat. Nak tunggu apa lagi?” Soalan Adib mematikan selera. Aku tertunduk. Sungguh aku tak tau nak cakap apa. Dalam keadaan macam ni, nak jumpa pun susah, nak rancang untuk hidup bersama, lagilah macam tak logik.

“Adelia?” Panggil Adib. Laju aku angkat muka. “Are you okay?” Soalnya lagi.

Aku senyum lagi, senyum plastik. “Okay.”

“Sorry kalau saya ada cakap apa-apa yang tak patut.”

Aku menggeleng perlahan. “Nothing. Cuma pasal plan yang awak cakap tu, mungkin belum masa lagi kot. Dia busy, saya pun sibuk juga.” Aku rasa nak tepuk mulut sendiri. Sibuk celah mananya? Dah sah-sah kerja jadi cikgu dekat Tadika ni salah satu kerja paling heaven. Balik awal, tak payah pening-pening.

“Okay. Tapi kalau dah sampai masa, jangan lupa jemput saya.” Adib senyum. Aku mengangguk perlahan, menggenggam erat jari-jari, cuba mencari kekuatan sendiri.

***

HARI Sabtu, minggu kedua berpuasa.

Lepas solat Asar, aku terus menuju ke dapur. Pagi tadi aku ada beli ikan pari, hajat nak buat ikan pari masak asam pedas. Aku buka peti ais, tangan capai lada kering dan beberapa cili padi. Sebiji bawang merah dan bawang putih aku buangkan kulitnya, basuh dan terus letakkan dalam lesung batu. Terus aku tumbuk bawang tadi dengan lada kering yang siap direndam dalam air panas dan digunting kecil-kecil bersama cili padi. Seketul kecil kunyit hidup turut ditumbuk sekali.

Okay bahan pertama dah siap. Periuk dalam kabinet aku ambil dan letak atas dapur. Bahan yang ditumbuk tadi aku tumis, dan kemudian air asam dimasukkan ke dalam periuk. Bila dah agak lama, aku masukkan empat ketul ikan pari dan biarkan mendidih. Beberapa biji kacang bendi pun aku letak bersama dengan daun kesum.

Ni saja nak tunjuk pandai masak asam pedas ke apa?

Aku kerling jam, dah hampir jam 6. Laju aku bergegas ke bilik Suhana. Nasib baik dia bukan jenis yang tidur kunci pintu.

“Sue, bangunlah. Dah pukul 6.”

Suhana bergerak sedikit. Aku menggeleng. Bahunya aku sentuh. “Bangunlah Sue. Solat Asar. Aku dah siap masak untuk berbuka dah ni.”

“Kau masak apa?” Suhana buka mata sedikit. Aku tersenyum melihatnya. Penat bekerja waktu malam lain dengan penat kerja waktu siang.

“Aku masak asam pedas ikan pari. Kau sukakan?”

Laju Suhana bangun dari baring. “Mestilah aku suka! Thanks, AD!”

“Dah. Pergi mandilah. Segar sikit. Lepas tu jangan tidur semula, lepak depan TV. Nanti tolong potongkan buah.”

Suhana mengangguk dan bangun mengambil tuala di ampaian kecil dalam biliknya. Aku keluar dari bilik dan menuju ke dapur semula. Asam pedas ikan pari dalam periuk aku jenguk sikit. Nak rasa, tak boleh. Tapi harap-harap sedaplah.

Dua puluh minit berlalu, Suhana muncul didapur. “Nak potong buah apa? Epal?”

“Aku dah siap potong dah.”

“Pulak. Ni dah buat air belum?” Soal Suhana. Aku menggeleng. Terlupa air belum disiapkan. “Kau nak air apa?” Suhana terus pandang aku.

“Aku mana-mana pun tak kisah.”

“Erm kejap.” Suhana membuka peti ais. “Sirap, tak nak. Ribena, tak best. Milo ais, tipikal. Eh ada tembikai!” Suhana toleh pandang aku. “Air tembikai nak?”

Aku angkat bahu. “Ikut kau lah. Aku minum je.”

“Okay cool.” Suhana berjalan ke sinki, membasuh tangan. Laju tangannya mengambil pisau dan tembikai mula dipotong kecil-kecil, dan diblend.

“Kau tak kerja kan malam ni?” Aku memandang Suhana.

Suhana menggeleng. “Tak. Ha! Jom keluar. Dah lama tak keluar dengan kau.”

“Aku baru nak ajak kau keluar. Tengok movie nak?”

“Nak! Aku rasa aku dah tak ada life dah sekarang bila kerja malam. Balik kerja, tidur. Dah tak ada masa nak pergi memana.”

“Ala tak kisahlah. Gaji kau berkepuk kan?”

Suhana ketawa. “Kita pergi Alamanda eh?”

“Ha ah. Ke kau nak pergi tempat lain?”

Suhana diam sejenak. “Alamanda je lah. Dekat. Kita pergi lepas terawih. Okay?”

“Okay. Kita terus gerak dari masjid jelah. Tak payah patah balik dah.”

Suhana mengangguk laju.

***

DUA tiket wayang The Gulliver’s Travel sudah ada ditangan. Nasib baik Suhana pun sukakan lakonan Jack Black, jadi tak ada masalah untuk pilih nak tengok cerita apa. Dan seperti biasa, malam minggu macam ni, GSC memang dipenuhi orang. Tak kisahlah malam Ramadhan ke, apa ke.

“Mak aih. Sejam lebih lagi nak tunggu. Nak buat apa ni?” Ujar Suhana sambil tengok jam. Dia pandang aku.

“Lepak luar dulu lah.” Aku menarik tangan Suhana menuju ke arah kolam diluar GSC. Nak cari tempat duduk dekat tepi kolam pun susah sebenarnya kalau orang tengah ramai ni. Nak kena bersaing dengan pasangan kekasih!

“Karaoke nak?” Suhana bersuara sambil mendongak sedikit melihat pusat Karaoke di ruang atas.

Aku ikut mendongak. “Macam ramai je?”

“Ala kita tengoklah dulu. Jom.” Laju Suhana tarik tangan aku. Kami berjalan menaiki tangga dan terus mengambil nombor giliran.

“Kita ambik yang sejam je. Agak-agak kalau movie nak start tapi turn kita tak sampai lagi, kita tak payahlah karaoke eh.” Cadangan Suhana aku ikutkan saja. Sementara menunggu giliran kami, aku dan dia duduk di atas kerusi bulat-bulat berdekatan kaunter di pusat karaoke itu. Tak sampai lima belas minit, nombor giliran kami naik.

Masuk bilik 263, melompatlah aku dengan Suhana! Dah lama gila tak menyanyi ni. Ish ish. Tak ingat bulan Ramadhan langsung.

“Lagu last, kita nyanyi lagu Aerosmith nak? I don’t wanna miss a thing” Suhana berkata bila kami cuma punya lagi lima minit sebelum habis sejam. Aku mengangguk laju. Lagu-lagu last, kena jerit-jerit. Sampai habis suara pun tak apa! Dan melalaklah aku dan Suhana macam orang gila. Paling kelakar bila nak tarik suara dekat part tinggi, tapi suara tak sampai, pecah. Lepas tu sibuk nak ketawakan diri masing-masing.

“Hahaha. Elok sangatlah kita ni. Orang lain, bulan Ramadhan macam ni, mengaji. Kita menyanyi.” Ujar Suhana ketika aku dan dia melangkah keluar dari bilik berpendingin hawa itu. Aku tergelak. Mengiyakan kenyataan Suhana.

“Eh ada lagi lima belas minit. Aku nak pergi toiletlah.”

“Okay. Kau pergi toilet, aku beli air dengan popcorn.”

Aku mengangguk dan terus berjalan menuruni tangga dengan Suhana. Ketika berselisih dengan satu pasangan kekasih, langkah aku terhenti. Aku terdiam.

“Babe, kenapa? Ada barang tertinggal?” Suhana menyoal. Aku terus diam. Kemudian aku berpaling, memandang pasangan kekasih tadi yang semakin tinggi memanjat tangga.

“Razmil.”

Aku cuba memanggil, tapi suara aku cukup perlahan dan tak mampu untuk lelaki itu mendengar. Okay tak. Aku memang sengaja memperlahankan suara, sebab aku takut untuk terima kenyataan kalau-kalau lelaki yang berjalan berpimpin tangan dengan seorang perempuan, adalah Razmil.

Tapi aku tak dapat menahan Suhana bila suaranya tiba-tiba memecah sunyi malam. “Razmil?”

Lelaki yang sudah pun tiba di anak tangga paling atas berhenti melangkah. Dia dan wanita di sebelahnya berpaling. Aku meneguk liur. “Abang..”

Razmil kaget. Tangan wanita yang digenggamnya tadi perlahan dilepaskan. “Adelia.”

Suaranya menembak tepat hati aku. Wajah yang hampir dua bulan aku tak jumpa, yang aku rindu bagai nak gila, akhirnya aku nampak juga. Tapi aku berharap lelaki yang berdiri dengan jarak 1 meter dihadapanku ini, bukan Razmil.

Tapi lelaki itu sememangnya orang yang aku sayang.

“I pergi book bilik dululah. Takut orang ramai. Tak sempat kita nak karaoke.” Wanita itu tak tunggu persetujuan Razmil, terus berlalu meninggalkan aku, Razmil dan Suhana.

Aku terus tunduk. Tangan Suhana yang dari tadi aku pegang, aku genggam kuat. Suhana membalas, mungkin dia paham aku perlukan kekuatan sekarang. Untuk melihat orang yang aku harapkan dapat hidup bersama dengan aku satu masa nanti, berpegangan tangan, dan berduaan menyanyi, sumpah boleh kasi aku mati.

“Err. Yang tadi tu kawan abang.”

Aku terus diam. Tak dapat nak beri respon untuk setiap kata-kata Razmil. Sebab sekarang, otak aku tengah membayangkan aku dapat mencampak Razmil masuk dalam kolam yang ada berdekatan kami.

“AD pergi dulu.”

Dengan suara tertahan, aku terus tarik tangan Suhana menuruni tangga. Aku berjalan laju walaupun aku dapat dengar Razmil memanggil aku beberapa kali. Dia cuma panggil, dia tak kejar. Dan aku pasti, dia tetap teruskan rancangan untuk berkaraoke dengan wanita itu.

“Babe.” Suhana menarik tangan aku supaya berhenti melangkah. “Kalau kau nak balik, jom.”

Aku menggeleng. “Aku nak tengok Jack Black.”

Suhana mengetap bibir. “Aku rasa serba salah pula. Jiwa kau tengah melayang-layang, aku ajak kau tengok movie pula.”

“Tak apalah Sue. Aku okay. Aku dah biasa.” Aku senyum. Cuba senyum yang betul-betul senyum. Aku tak mau Suhana ajak aku balik. Sebab aku akan rasa lagi kosong kalau dekat rumah.

Suhana mengangguk. Dia menyuruh aku pergi ke tandas dulu sementara dia beli air dan popcorn. Melangkah masuk ke dalam hall, duduk di seat, semuanya Suhana yang uruskan. Aku terus ikut macam orang bodoh. Ketika filem ditayangkan, Suhana ketawa, aku ikut ketawa. Bukan aku tak faham jalan cerita yang aku tengah tengok. Cuma aku rasa terlalu kosong untuk isi dengan kegembiraan.

Semua ini, macam déjà vu. Dulu, aku pernah ternampak Razmil makan berdua dengan arwah kak Ira, sebelum mereka kahwin. Sekarang, aku terpaksa melalui perkara yang sama.

Pedih.

0 titik hujan: