Kelas hari ini yang patutnya dua jam, dipendekkan jadi satu jam saja sebab Prof Madya Rahila ada mesyuarat dengan Dekan Fakulti. Jam baru pukul 10 pagi. Rasa macam awal sangat nak balik rumah. Tapi aku tetap keluar dari kelas dan menuju ke kawasan parking kereta atas bukit di Kolej Ungku Omar.
Tanpa ada apa-apa perancangan, kereta aku meluncur laju menghampiri pagar utama UKM dan ketika di simpang empat, aku membelok ke kanan. Ke Kajang. Aku biarkan tangan aku terus menguasai steering kereta. Sehinggalah aku sampai di hadapan rumah Makcik Latifah. Kebetulan, Makcik Latifah ada depan rumah. Dia tersenyum ketika melihat aku keluar dari kereta.
“Makcik sihat?” Aku tunduk menyalami Makcik Latifah yang masih lagi tersenyum memandang aku.
“Alhamdulillah. AD ni pergi mana? Lama tak datang rumah makcik.” Makcik Latifah menarik aku masuk ke dalam rumahnya.
“AD sibuk sikit makcik. Baru mula nak belajar semula ni, dengan jadual lagi. Macam-macam.”
“Student ni memang busy ye? Syahril pun sekarang balik rumah dah nak dekat senja. Malam keluar semula. Tinggallah makcik dengan si Syahmil je.” Ujar Makcik Latifah ketika aku dan dia sama-sama menghala ke dapur.
Mendengarkan nama Syahmil aku terus bertanya, “Mana Syahmil, makcik? Tak nampak pun dia dari tadi? Tidur?”
“Taklah. Hari ni Razmil cuti. Semalam dia ambil Syahmil. Dia cakap nanti hujung minggu ni dia hantar.” Makcik Latifah terus menuang kopi ke dalam cawan di hadapan aku. Tudung saji kecil di atas meja di buka, ada beberapa ketul karipap. “Makanlah. Makcik buat karipap semalam. Pagi tadi makcik goreng yang lebihnya.”
Aku mengangguk sedikit. “Selalu ke abang Razmil bawa balik Syahmil?”
“Erm. Dua tiga bulan ni, selalu juga. Dia cakap, kalau siang-siang, ada kawan dia tolong jagakan sekali. Dia dengan kawan dia tu selalu bawa Syahmil pergi jalan-jalan.”
“Kawan?”
Makcik Latifah mengangguk. “Ha ah. Semalam dia ikut Razmil sekali, datang ambil Syahmil. Siapa ya nama dia.” Makcik Latifah diam sebentar seperti berfikir.
“Hanim?” Aku terlebih dulu menyerang fikiran Makcik Latifah. Dan jantung aku seperti berhenti apabila Makcik Latifah mengiyakan.
“Yelah. Hanim. Baik budaknya. Sopan santun je.” Mendengarkan pujian yang keluar dari mulut Makcik Latifah buatkan aku tak senang duduk. Laju aku sisip kopi di depan aku. Bukanlah aku tak suka Makcik Latifah memuji sesiapa. Cuma entah. Aku cemburu agaknya.
“AD memang dah kenal ye dengan Hanim tu?” Makcik Latifah memandang aku yang terdiam dari tadi. Aku angkat muka melihat Makcik Latifah yang masih merenung aku.
“Pernah terserempak dengan diorang.” Aku tersenyum dihujung ayat. Bab nak mengawal perasaan, memang aku dah terer. Kan aku pernah bagitahu yang aku ni pemenang untuk anugerah pelakon terbaik?
“Makcik nak tanya sikit boleh?”
Bila ada orang tanya soalan macam ni, memang boleh kasi aku nervous macam nak kena presentation untuk final projek. Dupdapdupdap dia boleh bawa maut. “Ada apa makcik?”
Makcik Latifah menarik nafas perlahan. “AD tak marah ke Razmil dengan Hanim?”
“Kenapa nak marah pula, makcik?” Aku mengerutkan kening. Sumpah aku tak faham apa maksud Makcik Latifah ni.
“Yelah. Bila Razmil buat keputusan untuk jadikan Hanim isteri dia, AD tak marah?” Kepala aku mula berpinar-pinar. Bila Razmil buat keputusan macam ni?
Terdengar keluhan Makcik Latifah perlahan. “Maafkan makcik. Sepatutnya makcik tak perlu tanya soalan macam ni. Yelah. Bila AD jarang datang rumah makcik, makcik sepatutnya dah boleh agak perkara ni. Makcik sebenarnya terkilan juga dengan Razmil. Dia dah bagi AD harapan, tapi macam ni pula yang dia buat.”
Makcik Latifah genggam erat tangan aku yang dari tadi terdiam tak boleh bercakap. Terkejut. Dan Makcik Latifah terus menyambung, “Cuma, kalau AD marahkan Razmil macam mana pun, makcik harap AD tak lupakan Syahmil. Dan makcik doakan AD dapat jumpa lelaki yang lebih baik dari Razmil.”
Razmil dah buat keputusan untuk jadikan Hanim isteri dia?
***
APABILA otak dah tak mampu mengawal segala fungsi dalam badan, aku akan jadi seperti makhluk diluar kawalan. Ok tak. Hehe. Cuma aku akan berada di luar sedar. Contohnya macam sekarang, pukul 9 pagi aku sudah keluar dari rumah dan memandu menuju ke Seremban. Untuk apa? Aku ingat nak menghabiskan sehari di MPH MidValley. Tapi kenapa aku pergi Seremban? Sebab aku rasa macam nak naik KTM dari Seremban.
Gila.
Tapi aku sudah berada dalam KTM. Pagi-pagi macam ni, KTM sejuk. Aku yang hanya bercardigan, terketar-ketar tahan gigil konon-konon macam tengah cuba untuk menghadapi musim sejuk di Seoul. Kah kah. Perasan!
Walaupun aku bercadang nak ke MidValley, tiket komuter yang aku beli menuju ke Sungai Buluh. Dan sekarang, aku masih menggigil kesejukan. Hampir sejam, aku tiba di Stesen Sungai Buluh. Entah apa yang aku buat di sini, aku tak tau. Tanpa keluar dari stesen ini, aku kembali menunggu tren menuju KL Sentral. Tapi seperti awal pagi tadi, aku tak tau apa yang aku buat apabila sekarang aku menggenggam tiket KTM menuju ke Shah Alam.
Hmmph.
Kesan dari cerita-cerita di rumah Makcik Latifah masih kuat rupanya. Aku berusaha untuk menangis sekuat hati, tapi tak menjadi. Air mata macam dah kering saja.
Keretapi sampai, aku terus memuatkan badan di koc wanita. Aku duduk dihujung sekali, dan terus diam. Umpama mannequin. Seperti mayat. Kaki aku kemudian melangkah keluar dari tren apabila tiba di Stesen Putra. Aku malas nak tukar tren di KL Sentral. Sesak.
Tak sampai sepuluh minit menunggu, sebuah tren menuju ke Pelabuhan Klang berhenti. Sekali lagi aku melangkah masuk ke dalam tren dan biarkan fikiran menerawang entah ke mana. Aku terus diam melihat telatah manusia-manusia di dalam tren. Sehinggalah tren berhenti di Stesen Shah Alam, hampir setengah jam berikutnya. Jam di pergelangan tangan aku kerling. Sudah hampir jam 11 pagi. Perut aku mula mual-mual sebab dari pagi tak makan. Kebetulan ada satu kedai runcit kecil dalam kawasan stesen. Aku capai Coke dan mula meneguk minuman itu ketika duduk di satu kerusi menunggu. Aku terus menunggu lagi. Menunggu tren seterusnya ke MidValley.
Ketika dalam tren menuju ke KL Sentral, aku tunduk memikirkan apa yang aku buat hari ini. Hanya kerana seorang lelaki yang tak pandai hargai aku, aku biarkan diri aku buat kerja bodoh macam ni. Haih. Terasa loser.
Pertukaran tren menuju ke MidValley tak mencapai masa yang lama. Hampir jam 11.45 pagi, aku sudah menaiki eskalator menuju ke kawasan MidValley. Aku terus berjalan perlahan melangkah masuk ke dalam kawasan MidValley, yang sentiasa penuh dengan orang, lebih-lebih lagi hari Sabtu macam ni.
Tapi perut berkeroncong ni jenis tak reti bersabar sangat, menolak-nolak aku mendekati Foodcourt di level atas. Banyak pilihan makanan, tapi aku menghampiri kawasan Nasi Ayam Penyet. Sedap betul ke nasi ayam penyet ni? Ah sedap tak sedap. Makanan sudah di atas meja, air coke sudah masuk ke dalam perut. Tanpa mempedulikan orang ramai yang lalu lalang, aku terus menyuap sesudu demi sesudu nasi ayam penyet itu masuk ke mulut.
Sehinggalah suapan aku terhenti apabila kelibat dua susuk tubuh melintasi meja yang aku duduki sambil menyorong kerusi bayi.
***
“ADELIA.”
Aku menoleh ke dapur apabila mendengar Suhana memanggil. Pelik juga bila budak seorang ni panggil aku siap pakai nama penuh lagi ni. DVD filem Se7en yang sudah separuh aku lihat, aku pause kan sebentar. “Apa?”
“Coklat dalam peti tu semua kau punya?” Suhana datang menghampiri aku dengan segelas Orange Juice. Suhana anti susu. Dia memang tak boleh nak minum susu langsung, jadi untuk mengekalkan kalsium dalam badan, dia mengambil saplimen Kalsium yang dibeli di farmasi.
“Kak Nurin punya.” Kak Nurin yang aku sebutkan ini adalah jiran rumah kami yang sangat baik. Sudah berkahwin dan punya dua anak yang comel-comel.
“Eh? Kenapa letak dalam fridge kita? Dorang punya rosak?”
Aku mengeluh. Kadang-kadang, Suhana ni, lurus dia boleh tahan. “Sue, dah kalau dalam peti ais kita, mestilah kita punya. Adoiii.”
Suhana kerutkan kening. “Tadi kau kata Kak Nurin punya?”
“Halah. Kau ni tak makan guraulah.” Aku memainkan semula cerita Se7en yang terhenti sebentar tadi.
“Ohhh!” Suhana ketawa. Baru sedar. Heh lambat. “Kenapa kau beli banyak sangat? Tengah tension ke?”
“Ha ah. Razmil nak kahwin dengan Hanim.” Aku menjawab dengan mata masih melihat lakonan Morgan Freeman dalam filem itu.
Suhana tak berkelip pandang aku. Dia terdiam lama sebelum berkata, “You can’t be serious.”
Aku berpaling melihat Suhana. “I’m not laughing.” Suhana diam semula. Masih merenung aku. Aku hanya tersenyum manis melihatnya sebelum merenung screen TV di depan.
“Babe, kau okay tak ni?” Suhana pegang bahu aku perlahan.
Senyuman aku mati. Aku menarik nafas dalam-dalam. “Kalau aku okay, aku tak akan penuhkan fridge kita dengan coklat-coklat tu babe.” Aku tunduk.
“Tapi kenapa? Yelah. For all this time, I thought both of you akan end up kan relation dengan berkahwin. Tapi kenapa tiba-tiba dia dengan orang lain?”
Aku angkat bahu. “Tak tau lah, Sue. Dengar cerita, dia tak yakin dengan aku. Entah. Biar jelah.” Aku diam bermain-main dengan remote TV di tangan.
“Eh tapi kan babe, aku nak tanya Razmil depan-depan. Dan kalau boleh, aku nak tengok depan mata aku sendiri yang diorang berdua tu memang dah plan nak kahwin bersama.” Aku pandang Suhana sambil mengangkat-angkat kening. Terasa genius dengan rancangan sendiri.
Bulat mata Suhana mendengar rancangan aku. “Kau jangan nak jadi bodoh, AD.” Kening aku terangkat. Disambut helaan nafas oleh Suhana. “You’ll cry, babe. You’re gonna hurt yourself more and more watching them together.”
Aku terdiam lama. Memikirkan kata-kata Suhana yang sememangnya betul. Tangan aku digenggam erat Suhana. “But, you should go, if that is what you need to do, to get over it.”
Aku tersenyum kecil mendengar nasihat Suhana. “Entahlah, Sue. Aku tak tau apa yang aku fikir sebenarnya. Cuma aku harap, bila aku buat macam ni, at least aku boleh jadi lebih kuat, even if Razmil lebih pentingkan Hanim dari aku, walaupun aku nampak diorang berdua depan mata aku.”
Kelibat dua tubuh di MidValley tempoh hari cukup buat aku hampir tak bernyawa. Betapa kuatnya aku berbohong mengatakan aku boleh buat-buat tak tau apabila ternampak Razmil jalan berdua dengan Hanim, mesra.
“To be honest babe, I wonder how much Hanim knows about me, about me and Razmil. I wonder how he described me to her. I wonder if he ever talked about me. Maybe, Razmil pernah cakap pada Hanim “I kesiankan Adelia” atau “Semoga Adelia dapat jumpa kebahagiaan dia”. Kan?” Aku pandang Suhana dan Suhana genggam tangan aku erat.
“I wish, I can live strong, without being broken in half.”
***
SEBULAN berlalu selepas perbualan aku dengan Suhana berlaku. Selama sebulan ini, aku cuba cekalkan hati seboleh yang mungkin. Aku cuba sekuat yang mampu untuk menarik semua rasa yang aku ada pada Razmil. Dan penentuannya adalah hari ini. Hari ini, aku akan bertentang mata dengan Razmil, menyelesaikan masalah kami. Sebenarnya masalah antara aku dan dia sudah selesai di hari aku tau yang dia menerima Hanim. Cuma aku nak mendengar dari mulutnya sendiri.
Aku memilih untuk berjumpa di rumah Makcik Latifah. Bukan inginkan sebarang bantuan tambahan untuk membela aku, tapi bila ada orang lain ni, aku rasa aku boleh tahan air mata dari mengalir. Ha, bijak tak aku?
Kuatkan aku, Tuhan.
Aku melangkah perlahan keluar dari kereta. Dari jauh, aku sudah nampak Razmil duduk di kerusi di halaman rumah Makcik Latifah. Awan petang memayungi kawasan ini, mendung. Perlahan aku menghampirinya.
“Assalamualaikum, bang.”
Razmil menjawab perlahan. “Duduklah. Mama tak ada dekat rumah. Ada kenduri sikit malam ni dekat rumah belakang ni.” Syukur Tuhan. Dah cukup lama aku tak dengar suara ini.
“Erm tak apalah. Syahmil mana?”
“Dekat dalam, tidur.” Ringkas jawapan lelaki ini. Sedikit menggigit hati aku yang sudah merapuh. “So, apa yang AD nak bincangkan dengan abang?” Razmil menyambung kata. Tangannya masih pada handphone.
Aku menelan liur. “Makcik cakap, abang dah buat keputusan untuk terima Hanim.”
Jari jemari Razmil terhenti bergerak pada keypad handphone. “AD dah tau rupanya.” Hanya itu yang terluah dari mulutnya. Dia terus diam, memerhati kereta yang lalu lalang di depan rumah Makcik Latifah.
“Kenapa, bang?” Terlalu banyak soalan yang aku nak tanyakan pada lelaki ini. Namun yang terkeluar, hanya dua perkataan itu. Hanya itu.
Razmil menarik nafas, lepas. “Maafkan abang. Cuma abang rasa, ini pilihan abang yang terbaik. Yang memahami abang. Yang boleh abang yakin untuk hidup dengan abang sampai bila-bila.” Aku terus tertunduk mendengar satu persatu kata keluar dari mulutnya, sehinggalah ke ayat terakhir.
“Dia orang yang abang sayang.”
“Kenapa macam ni akhirnya, bang? Apa salah AD pada abang sampai dua kali abang tinggalkan AD macam ni?” Soalan yang didatangkan sekali dengan air mata. Memang dah tak boleh nak tahan. Lama soalan aku dibiarkan tidak berjawab. Seketika aku mendengar satu keluhan panjang.
“AD tak salah apa-apa pada abang. Abang yang salah, sebab terus biarkan hati abang terbuka untuk orang lain masa abang dah terfikir untuk terima AD. Abang yang bersalah sebab tak yakin dengan AD.”
Aku terus teresak-esak. “AD sayangkan abang.”
Luahan itu, yang terlalu lama aku pendam, sejak kali pertama aku kenal lelaki di hadapan aku ini, dibalas dengan satu keluhan panjang. Yang aku sendiri tak pasti maksudnya.
“Adelia..” Razmil terhenti seketika sebelum menyambung. “Macam mana sekalipun AD cakap, apa sekalipun AD cuba buat, I probably won’t change. You’re better off finding another guy.”
Tuhan, kenapa begini sekali jalan hidup aku?
Aku bangun perlahan dari kerusi. Air mata yang mengalir aku seka. Seketika, aku melihat Razmil yang tertunduk bermain dengan jari jemarinya sendiri. Dan ketika itulah, Hanim datang membawa sedulang air, menghampiri kami. Tapi aku dah tak ada daya nak tunggu.
“AD doakan semoga abang bahagia.”
“Adelia..” Kaki aku baru melangkah sebelum sekali lagi Razmil memanggil namaku. Mungkin yang terakhir kali. Aku berhenti melangkah, namun tidak berpaling.
“You should stop looking at me.”
***
AKU pegang kuat steering kereta. Berperang dengan perasaan dalam diri. Kalau ikut perancangan asal, aku hanya nak dengar ayat ‘memang abang terima Hanim’ keluar dari mulut Razmil. Hanya itu. Supaya aku boleh pergi cepat-cepat dari Razmil. Tapi entah macam mana aku boleh TERmerayu pada dia. Tak tahulah entah jin mana yang rasuk aku masa tu supaya menangis, bersedih depan Razmil sampai macam tu sekali.
Haih. Bodohnya!
Sepatutnya aku tunjuk yang aku tak kisah pun kalau dia pergi. Ya. Itulah yang patut aku buat walaupun sekarang aku masih lagi menyeka air mata yang mengalir tak henti-henti. Damn.
Aku membelok ke kiri, memasuki kawasan Petronas seksyen 15, Bangi untuk mengisi minyak kereta sebelum pulang ke Putrajaya. Aku masuk ke dalam Mini Mesra dan mencapai sebotol kecil Coke dan Cadbury, terus bayar. Tanpa toleh mana-mana, aku terus bergegas keluar dan masuk semula ke dalam kereta. Segan juga sebenarnya bila orang tengok mata aku yang bengkak ni.
Seteguk dua Coke berjaya sampai ke usus, dan membiarkan album The Fratellis : Costello Music menjadi halwa telinga, terus aku tekan pedal minyak. Sampai di roundabout di hujung jalan, aku membelok ke kiri. Sekali lagi, aku biarkan tangan aku menguasai pemanduan. Sepatutnya, aku membelok ke kanan untuk pulang ke Putrajaya. Tapi aku meneruskan perjalanan sehingga melalui Kolej Poli-Tech Mara (KPTM, Bangi) dan sekali lagi aku membelok ke kiri. Melalui jalan kampung dan akhirnya aku tiba di simpang tiga.
Apabila lampu isyarat bertukar, aku membelok kereta ke kanan dan terus melalui jalan bengkang bengkok menuju ke kawasan Dengkil. Setelah memasuki satu simpang ke kanan, jalan menuju ke Restoren Tasik Idaman, aku terus mengikut corak jalan di hadapan. Aku tak tau ke mana aku nak pergi sehinggalah aku ternampak signboard menuju ke Sepang.
Dan sekarang aku baru keluar dari kereta, berdiri tegak, memandang pantai yang panjang, dipantulkan cahaya matahari petang yang mula hendak memergi.
Bagan Lalang.
Kereta yang aku parkir di hujung kawasan pantai, aku tinggalkan dan terus menghampiri satu kawasan luas yang dipagar dengan simen setinggi peha aku. Kawasan ini lebih kepada untuk buat aktiviti BBQ agaknya.
Aku pijak benteng batu itu, dan berdiri setegak yang boleh. Aku pejam mata, dan perlahan tarik nafas dalam-dalam. Mata aku buka pada masa yang sama aku hembuskan nafas yang terdalam.
Senyum.
Ya. Aku cuba senyum pada diri aku, pada nasib aku, pada masa akan datang aku.
Kemudian, aku turun dari benteng itu dan dengan berhati-hati, aku pijak batu-batu besar di hadapan yang membentuk bukit, dan terus turun ke kawasan pantai berpasir. Ini kalau salah pijak ni, mau berlubang muka.
Jam sudah menunjukkan hampir ke angka tujuh. Cuaca yang mula gelap hanya diterangi dengan saki baki cahaya matahari yang semakin tenggelam. Langkah kaki aku terhenti. Satu perasaan menusuk bila melihat matahari yang mula terbenam.
“Cantik, kan?”
Aku mengangguk mendengar kata-kata itu. Dan laju berpaling. Entah siapa-siapa yang tegur aku senja-senja ni!
“Adib!”
***
AKU merenung satu persatu wajah yang ada di kedai makan berhampiran pantai ini. Kebanyakannya, datang berkeluarga. Dan mata aku berhenti pada wajah di depan aku ini. Aku tak tahu macam mana dia boleh ada di sini. Bila aku tanya, dia tak nak jawab. Selepas terserempak di tepi pantai tadi, dia ajak aku ke surau berdekatan, solat maghrib. Dan sekarang aku di dalam kedai makan ini, duduk berhadapan dengan dia.
“Awak buat apa datang sini?”
Soalan Adib buat kening aku berkerut. “Bukan ke saya yang sepatutnya tanya awak, apa awak buat dekat sini?”
Adib ketawa. Entah apa yang kelakar entah. Aku ni dahlah masih dalam keadaan sedih-sedih, dia nak buat kelakar. Malas nak layan!
“Ini.” Adib meletakkan sesuatu di atas meja, di depan aku. Sesuatu yang membulatkan mata aku. Laju aku buka slingbag dan peluh mula nak keluar. Aku pandang Adib, minta penjelasan.
“Purse awak tertinggal masa awak bayar Coke dan coklat dekat Petronas, sebelum gerak ke sini. Saya panggil, awak tak dengar. Saya kejar, awak dah masuk kereta dan terus drive. So, saya follow pakai kereta.”
“Follow sampai sini?” Aku bertanya sambil mengambil purse tadi, melihat jika ada tercicir.
“Taklah. Saya follow sampai Dengkil je. Ni depan awak ni, bukan saya. Ni jelmaan saya.” Sinisnya. Tapi aku tak peduli dan tertawa kecil.
“Terima kasih.” Aku menyimpan purse tadi di dalam slingbag. Adib hanya tersenyum.
Beberapa minit berlalu, diam terus menemani. Kemudian, seorang remaja lelaki menghantar makanan kami. Nasi goreng cili padi untuk aku, nasi goreng ayam untuk Adib, tomyam ayam untuk dua orang makan, telur dadar dan jus epal untuk aku dan Adib. Perlahan aku sedut air membasahi tekak.
“Apa yang bawa awak sampai ke sini?” Adib memandang aku.
“Kereta.” Jawabku ringkas sambil mula menjamah makanan.
Adib terus ketawa. “Memang suka bergurau ya? Untuk tukar topik?”
“Tukar topik apa pula awak ni?” Okay secara jujur, memang aku dah mula cuak sebab dari ayat-ayat yang keluar dari mulut Adib, dia macam dapat tahu apa yang sedang berlaku. Jadi, untuk mengurangkan kegusaran dekat hati, aku minum air.
“What’s bring you here?”
Aku berdehem sikit. “Razmil is getting married.”
“Great. Tahniah. Ini kan berita gembira. Kenapa awak macam tak berapa nak suka ni?”
Aku tersengih. “Encik Adib, I’m not saying that we’re getting married. I said, he’s getting married.”
Adib terdiam sekejap. “You mean, dengan orang lain?” Aku terus mengangguk dan disambut dengan mata Adib yang membulat. “Betul ke?”
Soalan Adib aku jawab hanya dengan anggukan dan satu suapan nasi masuk ke dalam mulut. Aku terus mengunyah sambil memandang Adib yang masih lagi diam tak terkutik. Terkejut sangat agaknya. Tapi aku tak peduli. Aku terus makan dan makan. Dan membiarkan angin sepi menyelubungi aku dan Adib.
***
“ADELIA, dari mana?”
Aku yang baru melangkah keluar dari kereta berpaling. Suhana menghampiri aku dengan sweater di tangan. “Kau keluar dari pagi, dah tengah malam baru balik. Pergi mana? Kau tak ada kelas kan hari ni?”
Aku tersenyum sambil menekan punat alarm kereta. “Pergi bawa diri. Bad day.”
“Bad day?” Suhana bertanya semula. “Wait! You met Razmil?” Sambungnya semula. Aku hanya mengangguk dan bersandar di kereta. Suasana basement yang agak kelam itu sunyi. Jam sudah hampir ke sebelas malam. Memang tak ada orang sangat.
“Esok kau balik, I’ll let you know. Sekarang, kau pergi kerja. Ni dah nak dekat pukul 11. Karang lambat karang.” Aku menolak Suhana menuju ke keretanya.
“Promise me that you will tell me every single thing!”
Aku ketawa mendengar arahan Suhana. “Ya. Dah dah. Drive carefully.”
Suhana mengangguk dan masuk ke dalam kereta. Aku masih berdiri berhampiran lif sebelum kereta Suhana hilang dari pandangan. Tiba di tingkat lima, aku terus berjalan menuju ke rumah sewa aku dan Suhana. Masuk ke dalam bilik, aku campakkan beg ke atas katil, terus capai tuala di ampaian. Badan rasa melekit, seharian di luar.
Setengah jam berlalu, aku duduk di depan TV. Tapi fikiran aku kosong. Dan aku mula rasa pelik bila handphone aku tak berbunyi dari tadi. Geledah punya geledah, dan bila aku jumpa handphone, barulah aku perasan bateri handphone dah habis.
Patutlah.
Tak sampai sejam aku cas, aku dah hidupkan semula handphone aku. Beberapa mesej masuk. Kebanyakannya dari Maxis. Babah, Mama, Suhana, dan Makcik Latifah ada telefon. Tapi tak dapatlah sebab phone aku kan mati.
Baru saja aku nak baca mesej lain, babah dah call. “Ye babah.”
“AD pergi mana?” Ni babah ni risau sangatlah ni sampai main terjah-terjah macam ni. Tapi aku ketawa saja.
“AD tak pergi mana-manalah babah. Cuma tadi handphone ter-off. Battery flat.”
“Haih kamu ni. Babah bukan apa, bila Makcik Latifah call, cakap kamu ada pergi rumah dia masa dia tak ada tadi, lepas tu balik nangis-nangis, babah risaulah.”
Balik nangis-nangis? Aik. Takkan si Razmil yang bagitau? “Siapa bagitau makcik, bah?”
“Jiran makcik kamu tulah. Si Mashitah tu.”
Berkerut kening aku. Bila masa entah Kak Mashitah ada depan rumah dia. Tapi yelah. Manalah aku nak perasan sebab masa tu aku memang nak cepat-cepat balik. Tak sanggup nak tengok Razmil dan Hanim berdua.
“Adelia okay?”
“AD okaylah, babah. Jangan risaulah.” Aku ketawa dihujung ayat. Ketawa tanpa rasa, hanya untuk menyedapkan hati babah.
“Babah dah tau apa yang jadi. Babah harap, AD kuat, dan terima semua ini sebagai ketentuan Allah. Ingat, nak. Tak semua perkara yang kita suka itu, baik untuk kita. Yang penting sekarang, babah nak AD fokus pada masa depan AD, fokus pada study. Banyakkan berdoa, InsyaAllah, kalau satu hari nanti bila pelangi tu datang, tujuh warna tu akan lebih terang dari biasa.”
Aku memeluk handphone setelah babah menamatkan panggilan. Tersenyum mendengar nasihat babah. Boleh tahan juga ayat babah ni sebenarnya. Boleh buat status dekat facebook. Getaran di tangan mengganggu. Ada satu mesej, dari Adib.
Adelia, saya boleh nampak yang awak cuba terus untuk senyum walaupun awak dah makin jauh tenggelam. Jadi kalau awak rasa awak dah tak larat sangat, tolong pegang erat tangan saya yang dari dulu dah pun terhulur, untuk tarik awak ke atas semula.
***
“BABE, bangunlah.”
Aku membuka mata perlahan apabila terasa ada sentuhan di bahu. Aku melihat Suhana meletakkan beg di atas kerusi meja makan. “Kenapa kau tidur dekat luar ni?” Suara Suhana masih berlegar-legar. Aku bangun dari pembaringan dan duduk mengikat rambut yang dah macam serigala ni.
“Lain kali jangan tidur dekat luarlah babe. Bahaya.” Suhana masih dengan nasihatnya.
Aku tersenyum saja. “Aku tidur dalam biliklah, Sue. Ni lepas solat pagi tadi, aku terus lepak dekat luar ni. Tunggu kau balik.”
“Yelah tu tunggu aku balik. Dah. Pergi basuh muka. Aku ada belikan kau nasi goreng yang kau suka tu.” Bulat mata aku. Nasi goreng kampung yang Suhana belikan ni, dengan pedasnya, MasyaAllah! Sedap betul. Pagi-pagi makan sampai dua pinggan pun aku tak kisah!
“Sayang kau!” Aku buat flying kiss jarak jauh untuk Suhana dan terus berlari ke bilik air. Siap basuh muka, aku masuk ke dalam bilik untuk lap muka dan berjalan ke dapur mencari Suhana. Tapi langkah aku terus berhenti di meja makan apabila semuanya sudah disiapkan Suhana. Nasi goreng dah letak dalam pinggan, air masak sudah ada dalam gelas. Bagus Suhana ni!
“Sedapnya!” Aku mengunyah sambil tersenyum-senyum. Bangun pagi-pagi dan dapat sarapan yang sedap macam ni, memang nikmat sangatlah. Suapan aku terhenti apabila Suhana hanya pandang aku makan. “Kau tak makan ke babe? Puasa?”
“Puasa apa bendanya. Aku kan tak boleh solat. Kau makanlah. Aku dah makan tadi dengan budak-budak ofis.”
Aku mengangguk-angguk mendengar jawapan Suhana dan meneruskan suapan dengan gembira. Tetapi, sekali lagi suapan aku terhenti. “Kau dah makan kan tadi? Kenapa pandang aku macam nak join makan sekali je?”
Suhana mengeluh. “Kau ni! Aku tunggu kau ceritalah. Apa jadi semalam?”
Aku capai air, minum. “Aku bet, mesti kau kerja malam tadi tak tenang kan sebab fikirkan apa yang jadi pada aku semalam.”
“Hah memain! Cepatlah cerita. Aku ambil semula nasi ni karang.”
“Oh! Kau belikan nasi ni sebab nak dengar cerita jelah ye? Tak ikhlas. Tak apa. Aku tak naklah nasi ni.” Aku tolak pinggan nasi ke depan sedikit.
Suhana menjeling. “Nasi dah nak habis, memanglah kau tak mahu dah kan? Mengada! Cepat cerita.”
Aku ketawa melihat Suhana. Aku bersandar di kerusi. “Semalam aku jumpa Razmil.”
“Okay aku tau kau jumpa Razmil. Tapi apa jadi?” Suhana tongkat dagu atas meja, pandang aku. Amboi. Serius betul Suhana ni nampaknya.
“Erm. Dia bagitau dia pilih Hanim.”
Suhana kerutkan kening. “Itu saja? Dia tak cakap benda lain? Tak explain apa-apa? Tak ada reason?”
“Reason?” Aku terhenti semula, menarik nafas perlahan. “Hmmph entahlah. Cuma dia cakap, Hanim tu yang terbaik untuk dia, yang boleh faham dia, yang boleh buat dia yakin untuk hidup dengan dia, happily ever after.”
Suhana mengangkat kening. “Macam tu dia cakap pada kau?”
Aku hanya mengangguk “Dan Hanim ada sekali semalam. Cuma dia tak duduk semeja dengan aku dan Razmil lah. Aku agak, memang Razmil sengaja nak temukan aku dengan dia kot.”
Suhana diam mendengar dan kemudian aku laju menepuk peha Suhana. “Tapi!” Suhana terkejut dan aku terus menyambung. “Aku silaplah, babe.”
“Kenapa?”
Aku tunduk memegang jari. “Aku termenangis depan dia. Aku termerayu pada dia. Perkara yang aku tak patut buat, aku buat. Padahal, aku dah janji tak nak menangis, tak nak cakap bukan-bukan depan dia. Sebab tu aku buat keputusan nak jumpa dia. Aku nak tunjuk aku kuat berdepan dengan dia. Aku nak tunjuk yang aku boleh hidup tanpa dia. But I just can’t..” Entah sejak bila mata digenangi air, sedar-sedar pipi aku dah basah.
“Kalau aku tau, aku tak pergi jumpa dia. Aku betul-betul hancur masa tengok dia dengan Hanim dekat rumah makcik semalam.” Aku seka perlahan air mata. Suhana senyum memujuk. Tangannya mengusap perlahan bahu aku.
“Sabar, babe. Aku pun pernah kecewa dulu. Walaupun mungkin apa yang kita rasa berbeza, tapi kau jangan risau. Because I am really damn sure that one day, you’ll be hundred percent okay. Cuma yelah. Kita selalu rasa kita dah cukup kuat untuk berdepan dengan satu ketakutan, tapi sebenarnya dalam tak sedar, kita buat satu tindakan bodoh. Tindakan bodoh yang akhirnya makan diri kita sendiri. Kan?”
Aku tersenyum memandang Suhana. “Entahlah babe. Tak tau nak cakap macam mana. Ini perkara yang sama dia pernah buat dulu, masa dia bernikah dengan arwah Kak Ira. Dia cakap dia sayang aku, tapi semua tindakan dia, semua menghala ke arah tinggalkan aku. Ingatkan, bila dia cakap yang dia perlukan aku, dia betul-betul maksudkan semua tu. Rupa-rupanya, dia hanya perlukan aku sebelum dia berjumpa dengan orang yang betul-betul yang dia nak bersama.”
“Sudahlah, babe. Tak payah nak diingat lelaki macam tu. Sekarang ni, kau fokus pada study kau, fokus pada masa depan kau. Tapi satu je.” Kata-kata Suhana terhenti. Aku memandang gadis bermata sepet ini.
“Jangan sekali-kali kau tinggalkan Syahmil. Ya. Kau dan aku tau Hanim akan jaga dia. Tapi aku rasa tak salahkan kalau kau pun masih ambil berat pasal anak arwah Kak Ira tu?” Sambung Suhana.
“Itu kau jangan risau. Aku ni tak adalah kejam sangat. Tapi aku kena berhati-hatilah. Kalau boleh, aku tak mahu terserempak dengan Razmil dan Hanim.”
“Aku paham. Sudahlah. Jangan nangis. Makin bengkak mata kau tu.” Suhana bangun dari meja makan dan berlalu ke dapur. Aku menyeka laju-laju sisa-sisa air mata dekat pipi.
“Babe!” Suhana berpaling bila aku memanggilnya kuat.
Suhana berpaling.
“Terima kasih sebab bagi pinjam telinga, bahu dan jiwa.”
Suhana tersenyum menggeleng dan berlalu menghilang ke dapur. Aku bangun dari kerusi dan mengambil alat kawalan TV di karpet, tempat aku tidur tadi. TV dibuka dan aku biarkan klip-klip video menceriakan suasana pagi-pagi. Eceh! Menceriakanlah sangat.
“Eh AD. Semalam yang kau balik lambat, kau pergi mana?” Suhana muncul semula dari dapur. Aku berpaling sambil tangan menolak tingkap kaca, memberi ruang udara masuk.
“Aku pergi Bagan Lalang.”
Bulat mata Suhana. “Sepang? Alone?”
“Technically, aku pergi berdua.”
Mata bulat Suhana menyepet apabila dia mengerutkan kening. “Berdua? Siapa ikut kau?”
Aku duduk kembali dekat meja makan apabila Suhana menuang PeelFresh Orange. Air dalam gelas aku minum dan melihat Suhana yang duduk berhadapan dengan aku. “Adib.”
“Adib?” Suhana menyoal aku semula, minta kepastian.
Aku mengangguk dan bangun dari kerusi, berjalan mengambil handphone di sebelah TV. Kemudian aku menghulurkan pada Suhana. “Dan bila aku dah nak tidur malam tadi, Adib bagi mesej tu.” Aku membiarkan Suhana membaca mesej yang dihantar Adib.
“Adib yang hantar mesej ni?” Soalan Suhana aku jawab dengan anggukan. “Wow. Sweetlah mesej ni. Kalau aku jadi kau AD, dah lama aku ajak Adib ni bercinta.” Aku hanya tertawa mendengar kata-kata Suhana.
“Eh tapi babe, kau perasan tak?” Suhana pandang aku.
Aku angkat kening.
“Kenapa dia selalu ada masa kau tengah betul-betul down? I mean, yelah. Kau ingat tak masa kau plan nak berbuka dengan Razmil, tapi dia tak datang, Adib yang ada kan? Then masa kau terserempak Hanim, dia juga yang ada untuk tenangkan kau. Dan semalam, masih juga dia ada bila kau baru lepas jumpa Razmil tu.”
Aku terdiam mendengar setiap ayat yang keluar dari mulut Suhana, memikirkan satu persatu peristiwa aku dan Adib. Aku menongkat dagu melihat Suhana. “Kebetulan?”
“I don’t think so.”
Aku mengerutkan kening. “Then what?”
“Mana tau, ini petunjuk Tuhan yang jodoh kau sebenarnya memang dengan Adib?”
“Naaahh! Tak mungkinlah!” Laju aku menafikan dan Suhana terus tertawa. Aku jeling.
“Aku yakin, Adib betul-betul sukakan kau. Kalau tak, takkanlah dia hantar mesej macam ni.”
Bulat mata aku mendengar kata-kata Suhana tu. “Gilalah kau ni. Mengarut je! Itukan mesej dari seorang kawan yang mengambil berat pasal kawan dia.” Aku dah bangun mengangkat pinggan dan mug menuju ke dapur.
“Mengarut atau kau takut?”
Masih terdengar suara Suhana menyoal aku ketika aku di dapur. Tapi aku terus diam tidak menjawab. Memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang, ya. Menakutkan aku.
0 titik hujan:
Post a Comment