JAM di tepi meja aku kerling dengan mata yang susah nak buka. Baru pukul 8.15 pagi. Masih awal lagi nak bangun. Tapi aku gagahkan juga tubuh sebab aku dah tak tahan sakit perut. Ini mesti kes nak kena menyumbat nasi lemak mama dulu baru boleh tidur lena ni. Aku bangun dan berjalan keluar dari bilik.
“Hah baru bangun?” Tegur mama. Aku hanya mengangguk dan tersengih. Tangan kejap memegang perut. Sakit yang tidak menampakkan tanda-tanda akan berkurang.
“Kenapa? Sakit perut?” Babah yang sedang minum di meja makan pula berkata.
“Haah.” Aku menjawab ringkas sambil mengambil mug di rak pinggan. Ini dapat minum milo panas pun dah okay rasanya.
“Itulah. Malam tadi babah suruh makan dulu tak mahu. Kan dah masuk angin perut tu.”
Aku menyudu milo ke dalam mug. “Ala malam tadi penat sangatlah, bah. Tu yang terus shut down tu.” Aku tiba di rumah malam tadi. Pulang dari Melaka, aku sempat menjenguk Pak Long di rumah Abang Sham dan terus pulang ke kampung halaman untuk bertemu mama dan babah. Lama juga tak bermanja ni.
Mama menggeleng mendengar kata-kata aku. Aku menuang air panas separuh cawan dan mencampurkan dengan air masak biasa. Tak boleh sangat sebenarnya minum milo panas ni. Mahu terbakar lidah aku tiga hari.
“Ni makan nasi goreng ni. Biar terisi sikit perut tu.” Mama meletakkan pinggan berisi nasi goreng bersama telur mata kerbau di hadapan aku. Aku tersenyum. Sedap juga dimanjakan macam ni rupanya.
Tak sampai separuh nasi goreng masuk ke dalam perut, aku mula rasa tak sedap. Mual semacam. Tak sempat nak cakap apa, aku terus berlari ke tandas di hujung dapur. Nasi goreng yang baru nak dihadam terkeluar sekali. Perut pula makin mencucuk-cucuk sakit. Lima minit berlalu, aku keluar dari tandas dengan mata berair.
Perkara yang aku paling benci adalah muntah.
“AD demam ke?” Soal babah kekalutan. Aku menggeleng perlahan dan terus terbaring atas sofa di hadapan TV. Perut ni pula tak boleh nak dibawa berbincang langsung. Terus sakit tanpa fikirkan perasaan aku.
“AD gastrik ke?” Mama pula bertanya. Aku hanya mampu menggeleng. Dulu aku pernah ada gastrik. Tapi selalunya kalau dapat minum milo, dah okay dah. Tapi ini makin sakit pula. Aku terus mengerekot di atas sofa, menahan pedih perut.
“Kita pergi hospital jom.”
Saranan babah aku ikut saja. Tak daya juga nak menahan perit dalam perut ni. Nasib baik masa aku tiba di hospital, orang tak ramai. Tapi itu pun hampir sejam jugalah aku terbaring dalam kereta, menahan air mata.
“Kalau saya tekan dan awak rasa sakit, bagitahu ya.” Seorang doktor perempuan, Dr. Liza, lembut memeriksa aku. Aku mengangguk perlahan. Sedikit demi sedikit bahagian perut aku ditekannya. Sehinggalah ketika dia meletakkan tangannya di bahagian bawah perut sebelah kanan, aku hampir terjerit. Sakit tahu!
“Sakit dekat sini ya?” Soal Dr. Liza. Aku mengangguk menahan tangis. Dr. Liza diam seketika. “Baiklah. Awak boleh bangun.” Aku bangun dari pembaringan dan perlahan-lahan berjalan menuju ke meja Dr. Liza.
Mama di sebelah mula tak senang duduk. “Macam mana anak saya doktor?”
“Erm saya suspek anak puan ada apendiks. Sebab bila saya tekan di sebelah kanan perut dia, dia rasa sangat sakit dan kawasan itu pun keras.”
Aku yang mendengar dah macam nak pengsan. Apendiks?
***
AKU membuka mata perlahan-lahan. Kekaburan yang menguasai semakin menepi. Berkali-kali aku cuba kelipkan mata sehinggalah aku ternampak mama sedang duduk di tepi katil, tunduk membaca sesuatu.
“Mama..” Perlahan suara aku keluar dari tekak.
Mama angkat muka. “AD dah sedar?”
Aku melihat tingkap di tepi aku yang terselak sikit langsirnya. Cuaca di luar gelap. Aku tak tahu sudah pukul berapa. Aku cuba bangun dari pembaringan. Mama menghampiri dan membantu menyandarkan aku pada kepala katil hospital. “AD rasa pening-pening tak?”
Aku yang baru saja mahu menggelengkan kepala mengerutkan kening. Perut aku sakit, ditambah dengan perasaan mual yang tiba-tiba menggila. Aku pegang kejap lengan mama, menahan isi perut yang tak sabar hendak melihat dunia. Mama yang seolah-olah sudah tahu apa akan jadi pada aku, cepat-cepat mengambil besen kecil dari bawah katil dan meletakkan di atas peha aku.
“AD muntah dalam ni.”
Tak sempat mama nak habiskan ayat, separuh isi perut aku dah terkeluar. Tapi tak ada benda sangat yang jatuh dalam besen sebab aku dah disuruh berpuasa sebelum menjalani pembedahan. Aku cuba bersandar kembali tetapi tak lama apabila sekali lagi aku termuntah. Kali ini air mata aku tak dapat tahan apabila otot-otot di sekitar perut bergerak ketika aku memuntahkan cecair berwarna hijau dan berbau busuk. Aku dah mula agak aku kena santau ni.
“Mama, sakit!” Aku menjerit kecil ketika mama membantu membaringkan aku semula. Air mata tak berhenti-henti mengalir di pipi. Sungguh aku tak pernah rasa sakit macam ni sekali. Aku pegang perlahan perut. Dah macam orang bersalin cara bedah pun ada rasanya ni.
“Sabar, Adelia. Ini kesan bius dah hilang. Sebab tu AD baru rasa sakit dia. Sabar ya. Mama ada dekat sini.” Mama mengusap-usap kepala aku perlahan. Rasa sakit itu tak hilang, tapi sekurang-kurangnya, aku lega ada mama dekat dengan aku.
“Kenapa AD muntah hijau tadi ma?” Aku cuba juga membuka mulut, walaupun sakit di bahagian perut berdenyut-denyut.
“Doktor kata pada mama tadi, itulah bius yang diorang guna masa bedah AD. Bius tu dah keluar, itu yang AD mula rasa sakit. Tak apa, dua tiga hari nanti baiklah.” Mama senyum.
Aku cuba untuk membalas senyuman mama. “Babah mana, ma?”
“Babah balik rumah lepas maghrib tadi. Adib datang, jadi babah bawa dia balik ke rumah dulu.”
Mata aku membulat. “Adib datang?”
“Haah. Dia ada kerja di JB. Tapi lepas tau kamu masuk hospital, dia terus datang sini.”
“Macam mana dia tahu AD masuk hospital?”
Mama tersenyum. “Babah bagitahu.”
Aku mengeluh perlahan. Terasa seperti aku sudah menyusahkan Adib. Dia ada kerja di Johor Bharu tapi tetap gigih juga datang ke Pahang semata-mata untuk melihat aku.
“AD dah rasa lega sikit?” Mama bertanya sambil mengelap sedikit muka aku dengan kain lembab. Aku mengangguk perlahan. Badan terasa sangat letih, aku hanya mahu tidur sekarang ini.
“Mama rasa, Adib betul-betul ikhlas sayangkan AD.”
Aku pejamkan mata rapat-rapat, tidak mahu memberi apa-apa respon pada kata-kata mama. Tidak mahu memikirkan apa-apa buat masa sekarang. Aku terlalu penat.
***
HARI ketiga aku di hospital. Aku masih terbaring atas katil. Tak boleh nak bangun sebab risau perut aku yang bergam, terbuka. Karang kalau terkeluar segala usus apa semua, siapa nak tolong kutip?
Pintu wad terbuka. Aku menoleh. Mama dan babah melangkah masuk ke dalam. Babah membawa beg kertas berisi majalah untuk aku baca. “Sekejap lagi Adib datang. Tadi masa nak masuk sini, ada orang call dia.”
Aku pandang babah. “Lamanya Adib dekat Malaysia? Bila dia balik sana?”
Tak sempat babah nak jawab soalan aku, pintu terkuak, ditolak dari luar. Satu wajah yang hampir dua bulan aku tidak jumpa, muncul di pintu. Adib tersenyum dan melangkah menghampiri katil. Aku cuba untuk bangun, perlahan.
“Eh tak apa. Baring je.” Adib laju membantah pergerakan aku. Aku tak jadi nak bangun tapi babah menaikkan sedikit katil aku, tinggilah juga. Senang untuk berborak.
“Ma, temankan babah turun bawah sekejap. Lupa nak beli rokok.” Babah tiba-tiba bersuara. Berkerut kening aku. Sejak bila pula babah ni kalau nak beli rokok, kena mama yang teman?
“Ha yelah.” Mama pun laju saja menurut kata babah. Sebelum ni bukan main lagi marah kalau babah sebut pasal rokok. Kenapa mama dengan babah ni?
Aku terus melihat pintu tertutup rapat. Kini tinggal aku dan Adib saja, berdua. Dan aku seakan tersedar sesuatu. Ya. Terima kasih pada mama dan babah sebab beri peluang untuk aku tinggal berdua dengan Adib. Bijak betul mama dengan babah ni. Dah boleh buka syarikat agen cari jodoh ni.
“Mama tak marah pula babah merokok?” Soal Adib memecah hening bilik.
Aku tersenyum. “Marah-marah sayang.”
Adib ketawa kecil mendengar kata-kata aku. Dia tunduk bermain dengan jarinya sendiri. Kemudian dia mengangkat muka memandang aku. “How do you feel? Sakit lagi?”
“Haah. Tak boleh nak bergerak sangat. Rasa macam nak terbahagi dua badan kalau bergerak. Sakit betul.”
Adib senyum. “Nanti eloklah tu. Jangan lupa pantang. Nanti lagi cepat luka tu baik.” Adib terus mengingatkan. Aku diam tersenyum.
“Lama ke lagi dekat sini?”
Adib mengangkat kening. “Sepatutnya dah balik semalam. Tapi saya terus minta cuti sampai Ahad ni. Jadi petang Ahad ni saya fly ke Indonesia semula.”
“Maaflah. Susahkan awak pula sampai nak kena stay lama. Mesti banyak kerja awak tertangguh.”
“Eh tak adalah. Kerja dah siap. Lagipun dalam masa lebih sebulan ni, saya memang tak ada cuti langsung lagi. Alang-alang dah balik Malaysia, cutilah lama sikit. Bos tak marah pun. Jangan risaulah.” Adib senyum lagi.
Aku ikut senyum. Tapi dalam hati macam ada benda yang belum lepas lagi. Aku nak sangat bertanya, tapi aku risau jika Adib marah. Tapi selagi tak tanya, selagi itulah tak tahu keadaan sebenar kan?
“Adib.” Aku panggil Adib yang khusyuk melihat persekitaran luar melalui tingkap pada wad aku. Adib berpaling melihat aku. Bila dia pandang ni yang aku makin gabra ni.
“Awak tak marah saya kan?”
Kening Adib berkerut. “Why should I?”
“Err tak adalah. Lepas awak call itu hari, lepas apa yang saya cakap, awak terus macam jauhkan diri dari saya. Kita cuma contact by email. Itu pun jarang-jarang.” Aku bersuara perlahan, menunduk.
Adib tertawa kecil. “Saya busy sikit masa tu. Memang banyak sangat kerja. Balik rumah pun, dah malam. Lepas mandi apa semua, baring terus tertidur. Jarang sangat sempat untuk pegang phone.” Adib menarik nafas panjang sebelum menyambung semula kata-katanya. “Pasal apa yang kita bualkan, langsung tak beri kesan pada saya. Jangan risau, saya tak ambil hati apa-apa pun.”
Aku mengangguk kelegaan dan terus tersenyum. Sekurang-kurangnya aku tahu kawan baik aku yang seorang ini tidak menyimpan rasa marah pada aku.
“Kenapa? Awak rindu saya ke?”
Soalan Adib mematikan senyuman aku. Aku tunduk terdiam. Sungguh aku tak tahu apa aku patut jawab jika ditanyakan soalan seperti ini. Sunyi memintas lama. Soalan Adib aku biarkan tak berjawab.
“Adelia..”
Aku memintas laju. “Adib, saya minta maaf sangat-sangat. Awak tahukan, setiap kali awak datang, setiap kali itulah saya terpaksa sakitkan hati awak sebab tak dapat terima awak. Dan saya risau, disebabkan perkara-perkara macam ni, awak akan pergi jauh.” Aku terus tunduk, memaut jari jemari sendiri.
“Didn’t I tell you when I left this place that I'll come back, even if you're not waiting, even if you’re not accepting me?”
Aku telan liur perlahan. “But the same thing will happen. I'll end up hurting you again.” Wajah Adib aku tatap dalam-dalam. Dia membalas pandangan aku.
“Its okay. You can hurt me. Because I won’t be hurt.”
Perlahan-lahan suara Adib menyusup masuk ke dalam telinga aku. Sedikit sebanyak merenyukkan hati aku sendiri. Bayangan Razmil menari-nari dalam kotak fikiran aku. Semua perkara yang dia pernah buat pada aku bermain dalam kepala.
“I gotta go. Nak gerak balik Melaka ni.” Ujar Adib setelah sunyi memintas lama. Aku mengeluh tak tahu nak kata apa lagi dah.
“Oh. Kirim salam pada semua ya.” Aku sempat berpesan sebelum Adib berlalu ke pintu. Dia hanya tersenyum mengangguk. Hati aku rasa sayu tiba-tiba.
“Adib,” panggilku laju ketika tangan Adib sudah memegang tombol pintu. Adib berpaling. “Saya tak dapat janjikan apa-apa. Tapi buat masa sekarang, saya akan cuba untuk kosongkan semula hati saya supaya ruang untuk awak akan lebih besar.”
Adib tersenyum, lebih manis daripada yang sebelumnya setelah mendengar kata-kata yang aku ucapkan. Jujurnya, aku sendiri terkedu dengan ayat aku. Aku tak tahu apa kekuatan yang aku dapat, dari mana daya yang berjaya memutar kotak suara aku untuk terus berkata-kata.
Dan ketika melihat Adib sebelum dia berlalu pergi, aku tak tahu kenapa hati aku begitu tenang. Begitu senang.
3 titik hujan:
:)
i like~~
yeaa.. Adelia ngn adib. ssuai sgt.. tq utk n3 bru nih.. :)
terima kasih. :)
Post a Comment